"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan beli pangsapuri 10 tingkat di Mesir

Mohd Nor Yahya 
KOTA BHARU, 25 Feb (Hrkh) - 
Kerajaan negeri sehingga kini hanya menerima sejumlah RM 1 juta daripada RM15 juta pampasan sebagaimana dijanjikan pemaju yang membangunkan Lembah Sireh.

Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob berkata, Lembah Sireh kini sedang pesat dibangunkan dengan rumah-rumah kedai oleh pemaju selepas membangunkan kawasan itu daripada kawasan pertanian.

"Petani dan penduduk tempatan juga memperolehi manfaat secara langsung daripada projek tersebut di mana petani yang terlibat sebelum ini dibayar pampasan, manakala penduduk pula memperolehi peluang pekerjaan.

"Pasar Raya Tesco turut menyediakan sebanyak 30 peratus peluang untuk memasarkan produk yang dikeluarkan petani tempatan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri semalam.

Beliau menjawab soalan Haji Abdul Fatah Haron (PAS - Bukit Tuku).

Bagaimanapun katanya biar pun projek tersebut dijalankan di tepi Sungai Kelantan, namun sehingga kini tiada kesan sampingan kepada alam sekitar.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan, Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Dato' Husam Musa berkata, setakat ini terdapat 33 permohonan bagi membangunkan Bandar Baru Tunjung yang diterima Perbadanan Menteri Besar.

"Namun tiga daripada syarikat yang memohon sudah menandatangani perjanjian dengan kerajaan negeri," katanya ketika menjawab soalan Haji Hanifa Ahmad (PAS- Pengkalan Pasir).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Ustaz Mohd Amar Abdullah memberitahu dewan seramai 1,231 pelajar dari Kelantan kini sedang belajar di universiti di Mesir.

Katanya mereka sedang mengikuti tiga jurusan utama iaitu Pengajian Islam, Tahfiz Al-Quran dan Perubatan.

Beliau juga berkata kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada pelajar melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah termasuk menyediakan kemudahan penginapan yang lebih selesa.

Dan hari ini satu majlis menandatangani perjanjian bagi membeli bangunan 10 tingkat yang bernilai RM17 juta di Kaherah akan diadakan di Dewan Teratai, Kota Darulnaim.

Beliau juga berkata, pada 2007 kerajaan menyediakan peruntukan sejumlah RM549,500 yang diberi kepada 1099 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

Manakala tahun lepas sejumlah RM454,500 diberi sebagai ganjaran kepada 909 pelajar yang berjaya dalam peperiksaan tersebut.

"Kerajaan tidak bercadang untuk memberhentikan sumbangan terbabit walaupun negara kini dilanda kemelesetan ekonomi demi melihat anak Kelantan berjaya dalam pelajaran," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, debat perdana yang diadakan membabitkan tokoh politik dari PAS dan Umno akhir tahun lepas menjelaskan keterbukaan kerajaan negeri menerima pandangan dan kritikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita,Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar pula berkata, Kelantan merupakan negeri pertama membantu kebajikan golongan armalah melalui skim insurans.

"Kerajaan negeri juga memberi secara one-off kepada setiap Dun iaitu berjumlah RM40,000 setahun sebagai melaksanakan projek meningkatkan ekonomi armalah," katanya.

Menjawab soalan Abdul Aziz Kadir (PAS - Jelawat) katanya, seramai 12,460 armalah telah didaftarkan menyertai skim Takaful Armalah yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Dan sehingga akhir tahun lalu seramai 65 armalah telah meninggal dunia yang melibatkan pampasan perlu dibayar berjumlah RM46,500.

Daripada jumlah tersebut seramai 17 keluarga armalah yang meninggal dunia sudah menerima pampasan, di mana setiap mereka menerima sebanyak RM2,500.

Pengurusan skim tersebut diletak di bawah Tabung Amanah Tok Kenali. 

Tiada ulasan: