"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MB belum mahu dedah identiti pihak terbabit

Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim masih belum mahu mendedahkan identiti pihak yang terbabit dalam pembelian pangsapuri mewah di Arab Saudi oleh Permodalan Negeri Selangor Bhd (PSNB) yang didakwa wujud kepincangan dalam urusniaganya. 

Sebaliknya, kata beliau, biarlah pihak yang terlibat tampil membuat penjelasan terlebih dahulu berhubung perkara itu. 

"Kita harap siapa yang terlibat tampil menafi atau mengakui apa yang telah kita keluarkan, kemudian kita mulai dari situ," kata Abdul Khalid lewat petang ini setelah mempengerusikan mesyuarat exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri di Shah Alam. 

Beliau mengulas kenyataan hari ini bahawa lembaga pengarah PNSB sekarang mendapati terdapat kepincangan dalam pembelian hartanah'Al Marwa Tower Makkah' di bawah nama menteri besar ketika itu, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo - yang dibangkitkan oleh auditor luar. 

Abdul Khalid juga dilaporkan mendakwa pembelian 12 unit pangsapuri itu melibatkan transaksi RM25 juta, sedangkan lembaga pengarah didakwa hanya meluluskan kira-kira RM8 juta untuk membeli lima unit tersebut. 

Mengulas lanjut perkara itu, Abdul Khalid berkata, setakat ini, kerajaan Selangor belum mendapatkan maklumbalas daripada pihak yang terlibat. 

Akaun-akaun terbabit juga, tambahnya, diteliti oleh sebuah firma audit yang bereputasi antarabangsa. 

Transaksi rumit

Ditanya sama ada beliau akan mengadukan kes itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau berkata belum tiba masanya lagi. 

"Kita lihat respons terlebih dahulu. Kita profesional. Kita tidak ingin membuat tuduhan, sebaliknya perlulah melalui proses penilaian yang betul," tambah Abdul Khalid. 

Beliau juga berkata, urusniaga yang dikenal pasti pincang itu juga melibatkan transaksi wang yang rumit kerana melibatkan pertukaran matawang antara ringgit dan rial. 

"Transaksinya agak rumit. Katakan, kamu guna duit PNSB untuk transaksi di Mekah, maknanya duit perlu ditukar daripada ringgit ke rial... tetapi kamu membayarnya menggunakan ringgit, matawang domestik. 

"Ini merupakan elemen yang didapati dan mungkin tidak dilaporkan kepada Bank Negara, yang melibatkan transaksi individu," katanya. 

Ditanya tentang penafian Dr Mohamad Khir Toyo bahawa urusniaga tersebut tidak merugikan, beliau berkata: "Tidak mengapa, beliau mempunyai hak untuk berkata apa pun." 

Dr Mohd Khir hari ini dilaporkan berkata, semula angka dan fakta berhubung urusniaga tersebut telah didokumenkan dan oleh itu, tidak berlaku sebarang penyelewengan. 

Menurut beliau, jika disemak melalui rekod sedia ada, PNSB tidak hilang wang dalam urusniaga tersebut.                                                                                                                                        -malaysiakini-

Tiada ulasan: