"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zamry MB 'de facto', Nizar MB 'de jure'? Krisis Perlembagaan telah membuka mata rakyat terhadap kerakusan BN dengan kuasa!


HASSAN KARIM, Presiden Partai Rakyat Malaysia (PRM) memperkatakan tentang kemelut Perak yang makin kronik. Agak menarik juga:

KEADAAN politik di Perak beransur-ansur kembali tenang. Masa selalu disebut akan merawat luka. Tetapi krisis politik di negeri yang pernah kaya dengan bijih timah itu belum selesai. Pertarungan kini berpindah ke gelanggang baru iaitu mahkamah keadilan, dan itu adalah sewajarnya berlaku bagi sebuah masyarakat moden yang berbudaya dan bertamadun. Sementara itu satu lagi pentas aksi politik bagi rakyat Perak akan diadakan dalam pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang pada 7 April depan.
Dalam hal di Perak ini, ada baiknya dikaitkan dengan falsafah negara yang dipanggil Rukun Negara yang kadang-kadang dipandang remeh dan dipersenda tetapi sebenarnya adalah relevan.

Pertama Kepercayaan kepada Tuhan. Ertinya percaya kepada Tuhan Maha Esa dalam menentukan sesuatu. Lihatlah selepas pilihan raya 8 Mac 2008 sebuah kerajaan campuran Pakatan Rakyat dipilih oleh rakyat dan diperkenan oleh raja. Istana bersetuju memilih Datuk Seri Nizar Jamaludin dari PAS menjadi Menteri Besar Perak walaupun PAS hanya menguasai 6 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi Sultan dengan bijaksana telah melantik Nizar berdasarkan Undang-Undang Tubuh Perak.

Sultan boleh memilih ADUN dari Behrang atau ADUN Cangkat Jering dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk jadi MB kerana mereka berdua itu juga Melayu dan beragama Islam. Tetapi Sultan memilih Nizar dari PAS parti yang minoriti untuk mengetuai kerajaan negeri. Jadi ini semua ketentuan Illahi. Tidak terfikir sebelum ini di negeri Perak yang ramai penduduk bukan Islam dan PAS parti minoriti tiba-tiba Nizar boleh menjadi Menteri Besar menerajui negeri.

Politik di dunia fana dan prinsip pertama Rukun Negara kelihatan di pentaskan dalam pergelutan kuasa di Perak pada 5 dan 6 Februari lalu. Mengapa Nizar kelihatan berani dalam menghadapi raja di istana?

Dalam prinsip terakhir Rukun Negara di sebut kesopanan dan kesusilaan. Ketika menghadapi raja di istana, Nizar tetap bersifat sopan dan bersusila walaupun dia assertive atau tegas. Nizar tidak lembik mengalah (submission) atau keras kurang ajar (agression). Nizar menggunakan bahasa istana. Memanggil dirinya patik. Nizar boleh berkata saya tidak setuju Tuanku apabila Sultan mengarahkannya meletak jawatan. Sebaliknya Nizar memilih bahasa untuk golongan feudal dengan berkata "patik mohon sembah derhaka".

Mengapa Nizar kelihatan begitu berani dan assertive dalam setiap masa dan dia sentiasa kelihatan sopan dan berkesusilaan bila berdepan raja?

Saya melihat kerana Nizar seorang Melayu, seorang Muslim yang berjiwa merdeka yang diajar oleh Islam bahawa Allah itu Maha Besar. Tiada lain yang besar melainkan Allah. Nizar menghadapi Sultan sebagai raja memerintah negeri yang ada kuasa tetapi masih terikat dengan undang-undang negeri. Sultan masih seorang manusia bukan nabi yang maksum.

Berjiwa merdeka seperti Nizar ini bukannya biadap atau derhaka. Ia tidak menyalahi undang-undang negara. Jiwa hamba telah lama ditolak oleh orang-orang Melayu dan juga rakyat Malaysia. Setia kepada Raja dan negara prinsip kedua Rukun Negara adalah bermaksud menerima institusi Raja Berperlembagaan dan semangat cintakan tanahair.

Sebenarnya ada hikmah untuk dipelajari oleh setiap rakyat Malaysia ini lebih-lebih lagi ahli-ahli politik, para pengamal undang-undang dan para akademik di bidang guaman di universiti kerana apa yang berlaku di Perak itu terutama babak-babak di Istana Kinta, Ipoh antara MB Nizar dan Sultan amat kaya dengan rempah ratus perundangan di bidang perlembagaan (constitutional law).

Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Nizar di Perak telah tumbang. Kerajaan baru BN pimpinan Dr Zambry telah angkat sumpah dan kini memerintah. Mana satu kerajaan yang sah di Perak sekarang berada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk diputuskan. Ini kerana Nizar telah memfailkan kesnya di mahkamah tersebut.
Untuk menghormati mahkamah dan tidak bertindak "subjudice" atau memandai-mandai, maka kita biarkan saja isu siapa sebenar MB yang sah di Perak diputuskan oleh Mahkamah.

Tetapi kita harus berasa bersyukur bahawa krisis di Perak itu bergolak dengan agak terkawal. Masing-masing mengawal diri (restrain). Ada kematangan di semua pihak sama ada di kalangan Pakatan Rakyat, BN, Istana, polis dan rakyat jelata termasuk protagonis dan antagonis utamanya seperti Nizar, Dr Zambry, Anwar, Najib, Hadi, Sultan Perak dan Abdullah Badawi. Tidak ada sesiapa yang mati atau bangunan dan harta benda di bakar setakat ini seperti apa berlaku di negara jiran kita di sebelah utara baru-baru ini.

Masing-masing yang marah hanya sekadar berarak, menjunjung sepanduk, menunjuk rasa dan lepas itu kembali reda apabila satu demi satu memilih mahkamah untuk jadi tempat terakhir mencari keadilan. Di sinilah prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang memainkan peranannya. Maka amat melegakan apabila Perdana Menteri, Abdullah Badawi yang hanya ada kuasa beberapa minggu lagi dan hari-harinya boleh dihitung mengumumkan ISA tidak akan digunakan sewenang-wenang dalam krisis politik di Perak.

Suara Abdullah itu adalah suara rasional dan waras. Nizar juga respon dengan rasional dan waras dengan langkahnya akan meninggalkan kediaman rasmi MB dan perlahan-lahan terpaksa akur bahawa Dr Zambry dan kerajaan BN adalah kerajaan 'de facto' di Perak setakat ini.

Soal "de jure" kerajaan Perak pimpinan Dr Zambry ini akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tetapi satu perkara perlu difahami dalam episod di Perak ini bahawa orang-orang Melayu dan rakyat yang menyokong Nizar dan Pakatan Rakyat bukan menentang Sultan Perak atau institusi raja. Yang mereka protes sebenarnya ialah Umno, BN dan Najib terutamanya. Hal ini akan dapat dilihat dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang pada 7 April nanti.                                                                                                                                                                            
    http://sanggahtoksago.blogspot.com/

Tiada ulasan: