"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Inkues Teoh: Cap Jari Siapa di Tingkap Tingkat 14?

Forensik temui kesan cap jari pada tingkap di tingkat 14 Bangunan Plaza Masalam. Patologis kerajaan percaya bahawa Setiausaha Politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock, yang ditemui mati dipercayai terjatuh dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membunuh diri.

Penemuan cap jari pada tingkap tempat kejadian bagaimanapun menimbulkan seribu tanda-tanya. Sepertimana kesan DNA misteri yang ditemui pada jaket dan tali pinggang mangsa, cap jari yang dijumpai itu juga tidak sepadan dengan mana-mana saksi.

Cif Inspektor Mazli Jusoh di inkues hari ini berkata, kesemua cap jari yang kelihatan pada tingkap tersebut tidak lengkap dan tidak cukup sifat.

Mazli juga mendakwa beliau tidak melakukan sebarang dokumentasi iaitu sama ada mencatat dan merakam sebarang gambar memandangkan tidak ada satu pun yang memenuhi kriteria.

"Dalam kes ini memang ada kesan cap jari tetapi tidak cukup sifat dan ia menunjukkan pengesahan negatif kerana sifat. Ia memerlukan sekurang-kurangnya lapan sifat (untuk pengesahan)," katanya yang dipanggil semula untuk memberi keterangan.

Mazli ketika memberitahu mahkamah, terdapat lebih kurang lapan garisan yang boleh dilihat pada tingkap berkenaan tetapi tidak menepati sifat seperti yang dikehendaki dalam prosedur.

Ketika ditanya peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Beng Hock di bahagian manakah beliau melakukan pemeriksaan, Mazli berkata: "Saya siasat pada bahagian cermin, bingkai cermin serta bahagian bawahnya.

"Dalam kes ini tidak diambil kesan cap jari yang tidak lengkap itu kerana kawasan tersebut berdebu dan berhabuk, sebab apabila diambil, kadang-kadang sifatnya hanya 50-50. Di tempat berhabuk, jalur (garisan pada jari) tidak begitu timbul," katanya.

Mazli juga mengakui tahu bahawa kawasan tingkap itu (tempat Teoh terjatuh) digunakan oleh anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merokok.

Sementara itu ketika soal balas, Mazli kelihatan berang dengan beberapa pertanyaan Gobind terutama mengenai ketiadaan laporan pengesahan cap jari.

Mazli sebelum itu menerangkan kepada mahkamah bahawa apabila tiada sebarang cap jari yang lengkap ditemui, beliau tidak akan melakukan dokumentasi dan tiada sebarang laporan akan dicatitkan.

Jawapan beliau itu ditempelak oleh Gobind.

"Jadi begitu kamu boleh datang ke mahkamah dan cakap apa saja, yang kamu tidak boleh sahkan langsung cap jari ini?".

Mazli menjawab "Jika tiada (cap jari), tiadalah."

Mengenai kesan air peluh yang tidak diambil dari tingkap itu, Mazli berkata jika spesimen peluh diambil dengan cara calitan ia akan merosakkan kesan jari.

Selepas itu, saksi berikutnya Dr. Prashant Samberkar, pensyarah Patalogi Perubatan Universiti Malaya dipanggil untuk memberi keterangan.

Dr. Prashant dalam keterangannya memberitahu penglibatan beliau dalam proses bedah siasat Beng Hock bersama Dr Khairul adalah atas permintaan pihak polis dan bukannya dari keluarga mendiang seperti yang didakwa oleh Dr Khairul sebelum ini.

Dalam keterangannya, Dr Prashant berkata, Beng Hock masih bernyawa selepas jatuh dari tingkat 14 berdasarkan kecederaan yang dialami si mati.

Beliau memberitahu mahkamah,pemeriksaan yang dilakukannya menunjukkan tidak ada sebarang tanda-tanda pergelutan atau kecederaan akibat mempertahankan diri.

Dr. Prashant menganggarkan Beng Hock mati dalam lingkungan 11.15 malam pada 16 Julai 2009.

-tvantara.com-

Tiada ulasan: