Umno seolah-olah tidak menyedari siapa sebenarnya pengkhianat Melayu. Ekoran itu mereka terus menunding jari menuduh Pakatan Rakyatlah pengkhianat. Mengapa jadi begitu? "Itu adalah cara orang yang sudah kemaruk kuasa. Umno ini dijangkiti virus kemaruk kuasa!," bidas Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hamid. Menyingkap pengkhianatan demi pengkhianatan Umno terhadap orang Melayu, Wartawan SALMIYAH HARUN mengadakan interbiu eksklusif bersama Mohd Azmi baru-baru ini.
SAlMIYAH: 52 tahun Umno memerintah negara ini, ternyata Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan gagal mencapai matlamatnya terutamanya untuk orang Melayu. Benarkah ini satu pengkhianatan terhadap orang Melayu?
MOHD AZMI ABDUL HAMID: Sepanjang 52 tahun Umno memerintah, tidak dapat dinafikan terlalu banyak aset orang Melayu telah terlepas tangan akibat daripada dasar Umno memerintah. Di mana mereka menggunakan dasar atas nama pembangunan kampung Melayu dan tanah milik orang Melayu diambil termasuklah tanah rizab Melayu.
Jadi sudah ratusan ribu hektar tanah rizab Melayu yang telah dilenyapkan oleh kerajaan Umno dan sehingga sekarang masih banyak lagi tidak diganti.
Kita juga dapati peminggiran orang Melayu di Pulau Pinang adalah satu kes yang sangat jelas bagaimana ketika Umno berkuasa bersama Gerakan ternyata orang Melayu terpinggir akibat daripada penyelewengan dan juga salah guna kuasa oleh pemimpin-pemimpin Umno.
Ini juga pernah disebut oleh Dr Mahathir suatu masa dahulu, bahawa orang Melayu sangat ketinggalan walaupun di negeri-negeri lain sudah membangun.
Apa yang kita lihat juga betapa banyak institusi kerajaan yang dulunya didominasi oleh orang Melayu tetapi telah swastakan, akhirnya berpindah kepada bukan Melayu iaitu agensi penswastaan.
Apa contohnya?
Contohnya, Bernas tiba-tiba 31 peratus dimiliki oleh syarikat luar bukan bumiputera. Dan begitu banyak lagi termasuk juga isu perumahan di mana orang Melayu akhirnya tidak dapat rumah yang mampu beli akibat daripada Umno menjalankan dasar diskriminasi ke atas orang yang dianggap membangkang. Sebenarnya mereka sendirilah yang mengkhianati Melayu.
DEB gagal mencapai kuato 30 peratus untuk orang Melayu, bukan itu sahaja Umno sekali lagi bertindak mengkhianati orang Melayu apabila menghapuskan kekebalan Raja-raja Melayu. Apa pendapat saudara?
Sejak daripada isu krisis perlembagaan 1983 ternyata Umnolah yang telah mengugat institusi raja-raja. Mereka lakukan bukan untuk mengembalikan kedaulatan undang-undang tetapi yang sebenarnya ialah untuk memperkecilkan kuasa raja-raja, inilah pengkhianatan Umno.
Rakyat masih belum lupa bagaimana para pemimpin Umno telah berusaha menghakis fungsi dan kuasa yang ada pada raja-raja Melayu. Beberapa episod hitam terhadap institusi raja di negara ini dalam dua dekad kebelakangan ini boleh dijadikan contoh.
Antaranya ialah isu pindaan Perlembagaan 1983 (kuasa meluluskan undang-undang). Para pemimpin Umno telah melakukan beberapa tindakan di luar peruntukan perlembagaan, sekaligus membelakangi raja-raja.
Antaranya, BN telah secara rahsia membawa pindaan itu ke kabinet dan kemudiannya ke Parlimen, tanpa terlebih dahulu mendapatkan perkenan Majlis Raja-Raja.
Pindaan Perlembagaan itu telah dibawa ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kemudian diluluskan pada Ogos 1983. Di antara pindaan dibuat ialah berkaitan Fasal 66 (5).
Peruntukan asal berbunyi, "Rang Undang-undang akan dikuatkuasakan apabila Yang di-Pertuan Agong menandatanganinya." Pindaan itu jelas menghakis kuasa Yang di-Pertuan Agong, sekaligus menjadikan PM orang yang paling berkuasa.
Malangnya, pengkhianatan Umno diteruskan lagi misalnya dasar PPSMI, yang kononnya menguntungkan orang Melayu akhirnya telah menghakis Bahasa Melayu sekali gus menafikan Perlembagaan Malaysia...
Dalam isu bahasa, pengkhianatan Umno terhadap bahasa bermula tahun 1967 sejak daripada tulisan jawi dihapuskan sampailah sekarang apabila adanya peminggiran dalam pentadbiran dan pendididkan negara.
Kita dapati sehingga sekarang misalnya isu PPSMI sebenarnya belum selesai ternyata pemimpin Umno bermain kata-kata untuk memenangani hati dan bangsa lain. Jadi PPSMI itu akan diteruskan sehingga tahun 2014, walaupun kata 2012 kemudian menegaskan akan ditangguhkan sampai 2014.
Pendidikan agama Islam macam mana pula?
Kemudian kita lihat isu Sekolah Agama Rakyat (SAR) apakah ini satu pengkhianatan Umno yang sangat jelas, pada hal itu adalah institsusi orang Melayu yang seratus peratus berkait dengan nasib pendidikan agama di kalangan orang Melayu.
Siapa yang mengkhianati sehingga sekarang pun perkapita SAR masih lagi tidak selesai, malah Umno pula menuduh SAR sebagai pusat pengganas ini disebut sendiri Najib pada suatu ketika dulu.
Isu yang berkaitan dengan Islam, pelaksanaan syariat Islam dalaman kehidupan orang Melayu sehingga hari ini tidak diterima oleh Umno, isu anak mualaf tidak dibenarkan bertukar agama kepada Islam itu adalah daripada pemimpin Umno itu sendiri, yang bukan sahaja mengkhianati bangsa tetapi mengkhianati agama.
Adakah Umno juga turut melanggar budaya?
Kita melihat isu berkaitan dengan budaya. Banyak budaya Melayu dan Islam telah terhakis akibat daripada polisi Umno- BN yang sangat liberal sekali gus jati diri Melayu bagi genarasi muda terjejas kerana diberi lesen-lesen pusat hiburan dan juga acara hiburan yang tidak terkawal.
Sejak PAS mengambilalih Kelantan 1990, Umno menyekat bantuan kewangan. Begitu juga royalti minyak di Terangganu turut dinafikan. Sedangkan kedua-dua negeri ini mempunyai majoriti Melayu.
Ya...di Kelantan, Umno cuba untuk menyekat peruntukan sebuah negeri dengan menafikan melalui kononya ditubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang mana akhirnya ia menafikan hak rakyat negeri kelantan untuk mengendalikan pembangunan.
Umno juga menjalankan pengkhianatan kepada rakyat Terengganu yang mana menafikan royalti terhadap 90 peratus rakyat negeri itu adalah orang melayu. Tetapi dia (Umno) telah berdalih dan sekarang kita dapati banyak wang Petronas disalahgunakan untuk projek-projek membazir.
Hak keperluan orang Melayu misalnya penempatan dan peluang peniagaan di pusat bandar tidak diberi perhatian bersungguh. Kita juga tengok banyak pengkhianatan terhadap agensi di diwujudkan atas nama Melayu seperti Mara.
Betapa banyak juga pemberian aset-aset yang membazir akhirnya wang mara tersalur kepada perkara yang tidak langsung bermanfaat dan tidak menumpukan matlamat asal Mara.
Dalam IPP macam mana?
Dalam IPP swasta sebagai pembekal tenaga memaksa TNB membeli tenaga daripada pembekal swasta selama 21 tahun, itu adalah satu penyelewengan yang sangat ketara terhadap wang rakyat apabila dipaksa juga TNB membeli akhirnya TNB terpaksa membebankan kos daripada tenaga yang tidak payah dibeli tetapi dipaksa beli. Dan terpaksa bebani balik kepada pengguna.
Jadi ini adalah senarai yang kita boleh lihat pengkhianatan Umno terhadap orang Melayu. Pengkhianatan Umno yang sangat ketara yang tidak boleh dinafikan sama sekali. Ia bukan pengkhianatan kepada satu atau dua orang tetapi terhadap satu atau dua generasi negara ini.
Umno seolah-olah tidak nampak apa yang mereka khianati rakyat sebaliknya menuduh pemimpin Pakatan Rakyat yang mengkhianati rakyat. Kenapa Umno jadi begitu?
Ya! Itu adalah cara orang yang sudah kemaruk kuasa. Umno ini dijangkiti virus kemaruk kuasa. Apa sahaja di lakukan itu tumpuannya adalah untuk mengekalkan apa yang ada ditangannya.
Sehingga segala kepincangan dan kekotoran ditangan Umno sudah cuba dinafikan pada hal ini adalah catatan sejarah yang tidak dapat dipadamkan sampai bila-bila.
-detikdaily.net-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan