"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: PAS Pahang tuntut martabat semula Bahasa Melayu

Wartawan Harakahdaily
JERANTUT, 17 Ogos: Konvensyen Memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Rasmi dan Pembudayaan Bangsa di Kompleks Imam As Syafie (KIAS), Temin, Jerantut menuntut supaya Kerajaan Malaysia bersungguh-sungguh mendaulatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi.

Kerajaan juga dituntut menjadikannya bahasa pembudayaan bangsa dalam amalan pemerintahan, sejajar dengan kehendak Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.

Serentak dengan itu, konvensyen juga mendesak Kerajaan Malaysia supaya sebarang bentuk ancaman terhadap kedaulatan, pengukuhan dan pembudayaan bahasa seperti yang berlaku sekarang dihentikan serta-merta dan dibenteras sekeras-kerasnya.

Kedua-dua tuntutan ini terkandung di dalam Deklarasi Lima Perkara yang bacaannya menjadi acara kemuncak dalam konvensyen tersebut.

Pembacaan deklarasi ini diketuai sendiri oleh Pesuruhjaya PAS Pahang, yang juga Naib Presiden PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut serta dalam konvensyen ini adalah tokoh sasterawan negara, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said. Selain beliau konvensyen juga berjaya menarik kehadiran ramai tokoh-tokoh sastera dan bahasa, dengan penyertaan keseluruhannya adalah seramai 500 orang.

Konvensyen ini dilihat sebagai usaha PAS di Pahang untuk mempastikan bahasa Melayu menjadi bahasa utama negara ini selepas isu PPSMI.

Tuntutan lain yang turut menjadi inti dalam deklarasi konvensyen adalah desakan pemansuhan serta-merta terhadap perlaksanaan Dasar PPSMI, kerana ia secara jelas telah mencederakan fungsi bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dalam pembudayaan dan sistem pendidikan negara.

Konvensyen mempertegaskan bahawa PPSMI telah dengan sendiri wujud sebagai ancaman terhadap masa hadapan proses pelajaran dan pembelajaran, sehingga mampu menjejaskan masa hadapan anak bangsa pula.

Sebagai pengembalian asas Bahasa Malaysia, iaitu tulisan Bahasa Melayu, maka PAS Pahang melalui deklarasi konvensyen juga menuntut supaya pembelajaran dan penggunaan tulisan jawi dalam sistem pendidikan negara dikembalikan semula, tambahan pula ia mampu membantu meningkatkan tahap penghayatan al-Quran di kalangan masyarakat.

Sebagai sebahagian dari tuntutan konvensyen, sesuai atas anjurannya oleh sebuah gerakan siasah berteraskan Islam, konvensyen dalam perkara terakhir deklarasinya meminta supaya Kerajaan Malaysia mewajibkan mata pelajaran Agama Islam sebagai wajib lulus untuk semua pelajar Islam di semua peringkat peperiksaan awam.

Kejayaan penganjuran konvensyen ini oleh PAS Pahang menjadi bukti akan kesungguhan PAS untut turut sama berpatisipasi secara aktif dalam hal-hal pembinaan bangsa dan negara, sesuai dengan tarafnya sebagai "government in waiting."

Tiada ulasan: