"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Persiapan rapi sambutan Ramadhan di Kota Bharu

Oleh Muhammad Yusri Amin
KOTA BHARU, 19 Ogos: Keunikan sambutan program Ihya' Ramadhan 1430 Hijriah di negeri ini khususnya di Qariah Ramadhan, Dataran Stadium Sultan Mohd Ke-IV ialah menampilkan suasana kearaban.
Bagi menyerlahkan suasana itu, pokok kurma dihiaskan di sekitar Qariah Ramadhan di samping bauan-bauan yang harum dengan suasana keislaman sebagaimana terdapat pada masjid di tanah suci Mekah.

Sementara kelainan dan keunikan Qariah Ramadhan khususnya pada Khemah Terawih ialah berhawa dingin dan beraroma Timur Tengah, dengan muatan seramai 2,000 jemaah pada satu-satu masa.

Khemah Terawih dibina tahun ini lebih luas berbanding dengan Khemah Terawih pada sambutan Ihya' Ramadhan tahun lepas yang hanya mempunyai tujuh buah khemah dengan kehadiran 1,500 jemaah.

Bagi menyerikan suasana Ramdhan di Serambi Mekah dan menampakkan suasana padang pasir, tempat di mana Islam diturunkan kepada Rasulullah, pengajur mengadakan Mubarak Cafe yang dikendalikan oleh orang Arab sendiri.

Pada tahun ini disediakan sebanyak sebelas Khemah Terawih dengan keluasan 220 kaki panjang dan 30 kaki lebar, sementara pada sebelah luarnya khemah berhawa dingin itu disediakan khemah terbuka.

"Tema program sambutan Ihya' Ramadhan pada tahun ini ialah Ihya' Ramadhan Di Serambi Mekah yang akan dilaksanakan di Qariah Ramadhan (Kampung Ramadhan) khususnya di Khemah Terawih dan khemah-khemah berkaitan.

Image(Gambar: Takiyudin bersama Nik Abduh dan Izani menunjuk logo Ihya' Ramadhan di Kota Bharu untuk tahun ini.)

"Program ini merupakan program Kerajaan Negeri dan dikendali sepenuhnya oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), adalah merupakan sebahagian daripada 'program pelancongan ibadah'(ibdadah tourism) yang telah kita mulakan pada tahun lepas," kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Dato' Haji Takiyuddin Hassan pada sidang media Ihya' Ramadhan Di Serambi Mekah 1430 Hijriah di sini semalam.

Beliau berkata, program dimulai pada awal Ramadhan, pada malam 1 Ramadhan - dengan diadakan solat Terawih yang diimamkan dua orang imam.

"Imam kali ini dari Mesir, Syaikh Ahmad Rejab Al-Fayyumi dan yang kedua hafiz tempatan iaitu Ustaz Said Hawa @ Al-Hafis dari Kelantan.

"Beliau dari Maahad Tahfiz Wal-Qiaraat Pulau Chondong dan merupakan Johan hafazan seluruh Indonesia," katanya sambil menjelaskan bahawa pelancaran program Ihya' Ramadhan akan disempurnakan Menteri Besar Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas solat Terawih pada 3 Ramadhan (24 Ogos) bertempat di Khemah Terawih, Qariah Ramdhan, Dataran Stadium Sultan Mohd Ke-IV di sini.

Beliau memberitahu, antara program tetap Ihya' Ramadhan ialah solat Terawih, Tadarus, Iftor, Sepetang Di Ambang Iftor (program untuk remaja setiap Ahad, Selasa dan Khamis).

Beliau berkata, melalui program Sepetang Di Ambang Iftor, penganjur akan menampilkan orang yang menjadi 'icon' kepada remaja.

"Ini termasuk tokoh sukan, tokoh Raja Lawak, artis nasyid dan selebriti.

"Tujuannya ialah kita mahukan mereka berhimpun beramai-ramai di Qariah Ramadhan sambil berhibur dalam bentuk yang terkawal selain dari menyaksi dan mengambil bahagian dalam 'talk shaw' termasuk dari kumpulan nasyid serta kuiz, yang diadakan di pentas terbuka Dataran Stadium.

"Selain dari itu, kemungkinan akan ditampilkan kumpulan pemuda Kelantan yang mendaki Gunung Everest baru-baru ini selain dari menampilkan penulis novel.

"Kita mengekalkan program biasa iaitu Tazkirah setelah solat Terawih empat rakaat, tazkirah ringkas mengenai ayat-ayat yang dibacakan imam solat Terawih berkenaan.

"Kemudian kita ada Relay Qiraatul Quran" dengan sambung-sambung membaca Quran sehingga waktu Sahur dan Qiamullail.

"Pengisian lain ialah sambutan ulang tahun kemerdekaan. Kita mengadakan Forum Kemerdekaan pada 9 Ramadhan (30 Ogos) bertempat di Khemah Terawih, selepas solat Terawih dengan penceramah dari Perlis, Mufti Negeri Perlis Dr Juanda Jaya dan Exco Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Dato' Haji Mohd Amar Abdullah," katanya.

Menurutnya, Diskusi Ilmiah Nuzuulul Quran pada malam Nuzuulul Quran iaitu pada 17 Ramadhan juga diadakan, dengan pengulas Dr Arif Kosmo seorang pakar Geologis (pakar mengenai batu-batu) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang akan memperkatakan tentang Mukjizat Al-Quran.

"Mengambil sempena peristiwa Peperangan Badar, kita mengadakan Forum Badar Qubra pada 20 Ramadhan (10 September) dengan penceramahnya (ahli panel) Ustaz Dato' Dr Harun Din dan Ustaz Haji Mohd Nassuruddin Haji Daud," katanya.

Selain dari itu, menurut Takiyuddin, diadakan majlis berbuka puasa perdana (Iftor Perdana).

Image(Gambar: Tapak Ihya' Ramadhan di Kota Bharu mula dipersiapkan)

"Kita masih membuka peluang untuk penaja-penaja yang mahu menghulur sumbangan derma kepada program ini di mana tahun ini diberi peluang kepada orang rakyat di negeri ini membuat kebajikan (sedekah) semampu mungkin walau pun dengan satu ringgit sama ada dalam bentuk wang tunai tau makanan.

"Mereka membeli kuih akok dengan harga satu ringgit yang dijual di Bazar Ramadhan, contohnya, dan mereka akan meletakkannya pada tempat khas yang disediakan di khemah Ramadhan dan disediakan sebaik berakhirnya Sya'ban tahun ini.

"Kita membuka peluang untuk sesiapa saja memberi sumbangan derma untuk khairat, kebajikan dan juga sumbangan ikhlas pada bulan Ramadhan ini.

"Minima pada setiap hari, dianggarkan seramai 400 orang akan berbuka puasa di Qariah Ramadhan terdiri daripada musafir dan orang miskin dari semua kaum dan agama termasuk Cina dan India. Mereka mahu makan, bolehlah datang makan semasa kita berbuka puasa beramai-ramai.

"Para penaja untuk orang berbuka puasa boleh menderma sama ada bernilai RM400, RM800, RM1,200, RM1,600 dan RM2,000.

"Derma untuk bilangan 100 orang berbuka puasa, boleh didermakan sebanyak RM500, manakala derma untuk 200 orang sebanyak RM1,000. Demikian derma untuk orang berbuka puasa 300 orang sebanyak RM1,500 dan untuk 400 orang sebanyak RM2,000.

"Kita fokuskan tahun ini untuk menggalakkan orang menderma, sesiapa saja yang mahu menderma, boleh berbuat demikian walau sekecil mana pun derma itu," katanya.

Beliau berkata, penaja dari agensi Kerajaan Negeri termasuk Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN), Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan pihak swasta.

Penaja utama ialah Bank Muamalat di samping Parkson Grand Kota Bharu yang menjadi penaja yang besar.

Mengenai kesan penyakit selsema babi (H1N1) beliau memaklumkan pada pagi 1 Ramadhan, Kerajaan Negeri akan menganjurkan solat Hajat khusus H1N1 pada jam 4.00 pagi bertempat di Khemah Ramadhan, Qariah Ramadhan, Dataran Stadium Sultan Mohd Ke-IV di sini.

"Menteri Besar akan turun di Khemah Ramadhan itu dan insya Allah dalam program ini tidak akan berlaku penularan H1N1, insya Allah.

"Kita juga menggalakkan sama ada orang ramai yang datang itu hendaklah memakai topeng muka, dan kepada mereka yang mahu mendermakan topeng tersebut adalah dialu-alukan.

"Dianggarkan kos pengurusan untuk Ihya' Ramadhan saja, pada tahun ini sebanyak RM400,000 iaitu melebihi daripada kos lepas, manakala Kerajaan Negeri sendiri membelanjakan sebanyak RM150,000," katanya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ahli Majlis Majlis MPKB-BRI Dr Izani Hussein dan Pengerusi Jawatankusa Pembangunan Islam MPKB-BRI Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, pelancaran Tabung Ihya' Ramadhan 1430 Hijriah yang disempurnakan Menteri Besar Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat berjaya mengumpul sebanyak RM136,650.

Derma diterima termasuk dari agensi Kerajaan Negeri, syarikat swasta dan indvidu itu merupakan pelancaran derma Tabung Ihya� Ramadhan siri pertama menjelang Ramadhan 1430 Hijirah.

Pengarah Perhubungan Awam, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Azman Mohd Daham berharap pelancaran Tabung Ihya' Ramadhan bagi pusingan kedua Jumaat ini kutipan derma untuk tabung tersebut dijangka hampir sama.

"Dan target derma untuk Tabung Ihya' Ramadhan 1430 Hijriah (2009) dianggarkan lebih RM300,000," katanya kepada media selepas upacara perasmian pelancaran tabung tersebut yang dilakukan Menteri Besar di Medan Ilmu, Jalan Dato' Pati di sini baru-baru ini.

Tidak ketinggalan sumbangan derma diterima dari syarikat swasta milik Melayu dan Cina serta individu.

Tiada ulasan: