"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bagaimana PAS patut hadapi era pemulihan Umno? / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

ABU FIRDAUS
U
mno mahu memperbaiki dirinya. Ucapan Najib Abdul Razak dalam perhimpunan agung parti itu menunjukkan azam untuk berubah. Dinyatakan bahawa kesedaran sudah melanda Umno dan mereka akan berubah, demi untuk meraih kembali undi yang terlepas dan memantapkan kembali kuasanya.

Tetapi masalahnya, menurut penyokong Umno sendiri, apakah azam pemimpin parti itu akan sampai dan merebak ke bawah? Lebih-lebih lagi di peringkat pertengahan seperti ketua-ketua bahagian yang mendapat habuan daripada sistem politik wang dan korupsi. Harapan yang dilahirkan ialah akar umbi Umno akan menyokong kepimpinan untuk membersihkan parti, tetapi masalahnya ialah di peringkat pemimpin pertengahan. Namun begitu, pemimpin tinggi pun bukannya bebas daripada masalah.

Namun begitu, Umno telah memperlihatkan usaha untuk berubah, sama ada ia berjaya atau tidak adalah soal lain. Apa yang penting bagi langkah permulaan ialah membangun semangat. Itulah yang berjaya dilakukan Umno apabila menang besar di Bagan Pinang baru-baru ini. Ini diikuti perhimpunan agung Umno, yang dilihat penerus kepada semangat yang dibina itu.

Untuk berjaya, proses yang dilakukan Umno ini perlu dikembangkan kepada parti-parti komponen BN yang lain khususnya MCA dan MIC. Maka keadaan itulah yang berlaku dalam usaha bersungguh-sungguh kepimpinan Umno supaya MCA menjadi stabil dan MIC mendapat penyegaran semula. Jika tidak berupaya, maka akan dicari jalan lain, antaranya ialah penubuhan Parti Makkal Sakthi.

Tetapi apa yang berlaku pada BN ini merupakan cabaran kepada Pakatan Rakyat. Usaha penubuhan Makkal Sakthi adalah sebahagian proses memecahkan sokongan padu kaum India dalam pilihan raya umum 2008 kepada Pakatan Rakyat.

Hakikatnya gerakan Makkal Sakti berpecah tiga. Satu masih menyokong Pakatan Rakyat. Yang satu lagi beralih kepada BN. Dan yang satu mengambil pendirian berkecuali. Apa hal pun, ia bermakna Makkal Sakthi telah berpecah, yang membawa erti sokongan kepada Pakatan Rakyat berkurangan.

Tetapi cabaran bagi Pakatan Rakyat bukan itu saja. Perkara pertama ialah kepimpinan utama iaitu Anwar Ibrahim sendiri. Beliau mempunyai banyak masalah yang membebankan juga kepada Pakatan Rakyat. Usaha mesti dilakukan untuk mengukuhkan sosoknya, dan apa hal pun, pemimpin pelapis mesti disediakan. Setakat ini, ia perkara sukar untuk ditentukan tetapi ia perlu dilakukan dan disediakan juga.

Kedua, platform bersama parti-parti komponen Pakatan Rakyat. Walaupun politik baru yang dibawa Pakatan Rakyat adalah berbeza tetapi satu fahaman berkongsi sama antara PAS, DAP dan KeADILan. Soal PAS dan DAP berada di penghujung spektrum politik mesti diselesaikan. Ini kerana DAP, dari segi idealisme bukannya parti cauvinis Cina. DAP sebuah parti sosialisme demokrasi yang sederhana.

Begitu juga dengan PAS. Ia bukannya parti ekstremis fundamentalis Islam. Ia parti Islam demokrat yang juga sederhana. Kalau tidak sederhana masakan ia masuk pilihan raya dan boleh bekerjasama dengan Parti Semangat 46 masa dahulu dan Parti Keadilan Nasional kemudiannya.

Dalam hal ini, PAS tentunya tidak boleh menentukan apa yang patut berlaku terhadap KeADILan dan DAP. Apa yang boleh dilakukan hanyalah terhadap dirinya saja. Kalau Umno memulakan proses pemulihannya dengan memantapkan pimpinan melalui pengunduran Abdullah Ahmad Badawi dan digantikan Najib, maka PAS mungkin berbeza pendekatannya, tetapi ia harus berjalan.

Maknanya, dari sekarang sudah dipertimbangkan siapa yang akan memimpin Pakatan Rakyat dan setiap parti komponen. Sememangnya diharapkan Anwar terus memimpin Pakatan dengan KeADILan menyediakan kepimpinan pelapis kerana kedudukannya yang lebih luas berbanding PAS dan DAP. Namun begitu, sebarang kegagalan kepimpinan, langkah wajar dibuat untuk bersedia sebagai ganti.

Di pihak PAS, parti ini kena bersedia mengukuhkan diri. Pilihan raya kecil Bagan Pinang wajar menjadi pengajaran kerana ia menunjukkan kelemahannya dan Pakatan Rakyat sendiri. Baik dari segi fahaman, kepimpinan mahupun jentera. Kalau pilihan raya umum 2008 menjadi pemangkin kepada perubahan dalam Umno, maka begitu juga Bagan Pinang bagi PAS.

PAS mesti menyediakan diri untuk memimpin Pakatan rakyat dan tidak boleh mengharapkan KeADILan. Ia mesti menjadi parti pengganti kepada Umno dalam kepimpinan negara.

Dari segi kepimpinan pula, semua masalah yang dihadapi parti mesti ditangani segera dan berhemah oleh pucuk pimpinan. Akhirnya apa yang turut penting ialah kemantapan jentera parti. Daripada kawasan, cawangan, pemimpin, aktivis dan ahli serta penyokong di sekitarnya.

Perkembangan parti mesti dipesatkan supaya kedudukan cawangan PAS di seluruh negara akan menjadi selari dan mampu mencabar pesaingnya dari Umno. Hanya dengan kehadiran yang menyeluruh ini, barulah PAS dapat menggantikan Umno sebagai ketua gabungan parti Pakatan Rakyat.

Dalam hal ini, aliran parti juga mesti diperhatikan. Dalam usaha membangunkan semula parti, Umno telah kembali menjadi parti tengah untuk semua rakyat walaupun ia bertunjangkan Melayu sebagai idealisme. Maka dalam hal ini, PAS mesti muncul juga sebagai parti tengah tetapi bertunjangkan Islam sebagai idealisme.

Ini kerana akhirnya sebagai parti tengah, di mana Umno dan PAS tidak mempunyai banyak perbezaan dari segi memberi khidmat kepada rakyat. Tetapi rakyat dapat memilih mana parti yang lebih berkesan. Sama ada Umno yang tengah kanan atau PAS yang tengah kiri. Persaingan ini akan membolehkan sistem dua parti, yang akhirnya mendatangkan keuntungan kepada rakyat dan negara.

Tiada ulasan: