"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno bimbang PAS makin bertapak kukuh di Sabah / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Muhamad Zaidi
KUNDASANG, 28 Okt:
Pendukung-pendukung jemaah Islam di Sabah perlu menguasai media baru dan menjuarai program kebajikan bagi untuk melebarkan lagi sayap perjuangan PAS.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Haji Ahmad Dullah berkata, pendukung PAS di Sabah hendaklah mengutamakan program-program kebajikan termasuk menyampaikan beras dan membaiki rumah penduduk miskin.

"Melalui program seumpama itu penduduk akan ingat sampai bila-bila kepada pemimpin PAS kerana ia tidak dilakukan pemimpin BN di sini.

"Biar pun kita tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak namun melalui kesungguhan tersebut ia dapat membantu melebarkan lagi sayap PAS di Sabah," katanya pada perasmian penutup Konvensyen IT PAS Sabah di sini baru-baru ini.

Menurutnya juga keupayaan PAS bertapak kukuh di Sabah sekarang begitu dibimbangi pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ini kerana katanya, pemimpin PAS mempunyai prinsip yang lebih jelas dalam perjuangan dan tidak mudah terpengaruh dengan umpan bersifat keduniaan.

Beliau juga berkata, melalui penguasaan terhadap media baru khususnya teknologi komunikasi maklumat ia dapat merancakkan lagi medan dakwah dan siasah.

"Sekiranya kita gagal menguasai teknologi maklumat kita akan ketinggalan. Ini kerana kemunculan media baru menjadi kegemaran kepada anak-anak muda.

"Malah keupayaan kerajaan Barisan Nasional menguasai media menyebabkan mereka mampu bertahan sehingga sekarang,"katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah, Aminuddin Aling, Ketua Penerangan, Hisyamuddin Sulaiman, Ketua Dewan Pemuda, Lahimi Latigu, Pengarah IT PAS Pusat, Zuhaimi Embong dan Pengarah IT PAS Sabah, Alimin Jasman.

Konvensyen selama dua hari itu dikendalikan pasukan Jabatan IT PAS Pusat dan Harakah. Seramai 150 peserta mengikuti program berkenaan yang diadakan di sebuah resort di kaki Gunung Kinabalu.

Perasmian program berkenaan yang diadakan sehari sebelum itu disempurnakan pengerusi Lajnah IT PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Samsuddin.

Ahmad berkata, peranan dimainkan media cukup penting misalnya di Indonesia kejatuhan regim Suharto dikaitkan dengan penentangan secara terbuka media massa di negara berkenaan.

"Oleh itu kewujudan media baru dan media alternatif patut dijadikan aset oleh pendokong-pendokong jemaah dalam memperkasakan dan melebar pengaruh gerakan Islam," ujarnya.

Ahmad juga berharap konvensyen tersebut dapat melahirkan penulis, wartawan dan blogger yang boleh memberi pandangan bagi membina anjakan paradigma kepada masyarakat di Sabah.

Menurutnya juga Harakah sebagai media oposisi dapat melantik pemberita-pemberita di setiap daerah di negeri tersebut bagi menyalurkan maklumat kepada orang ramai ke seluruh negara.

Tiada ulasan: