"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MP Pakatan: Timbang rakyat pilih ketua, ahli majlis PBT

KUALA LUMPUR, 28 Feb: Selepas konvensyen sulung Pakatan Rakyat (PR) lebih dua bulan lalu yang diharap akan membincangkan keperluan pilihan raya kerajaan tempatan secara komprehensif, seorang ahli Parlimennya mengulangi keperluan ahli-ahli majlis dan ketua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dipilih secara langsung oleh rakyat.

Dr Siti Mariah Mahmud, wakil rakyat Kota Raja menekankan bahawa kedua-dua ketua PBT dan ahli majlisnya wajar dipilih bagi memberikan khidmat yang berkesan kepada penduduk tempatan.

“Saya tahu perkara ini sedang dibincangkan... tapi pandangan peribadi saya, mereka perlu dipilih dan mereka juga perlu membentuk barisan Kabinet masing-masing supaya mereka dapat memberikan perkhidmatan yang berkesan dan ada akauntabiliti,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Konvensyen sulung PR 19 Dis lalu tidak membincangkan keperluan pilihan raya PBT ketika meluluskan dasar bersama kerana wujud perbezaan pandangan di kalangan komponen pakatan itu.

Baru-baru ini ahli jawatankuasa kerja PAS pusat ini memuatkan tulisannya bertajuk “Siapa Bela Penjaja Tempatan?”

Sebahagian besar kandungan tulisan beliau itu menyentuh tentang pengurusan penjaja tempatan yang disifatkannya belum berkesan dan kelihatan tidak adil.

Menerusi tulisan itu, beliau meluahkan kekecewaan kerana seolah-olah berada dalam kedudukan sebagai “peminta sedekah” atas alasan wakil rakyat yang “tiada duit dan tiada kuasa”.

Ini kerana menurut beliau, ahli-ahli Majlis PBT mempunyai lebih kuasa daripada ahli-ahli Parlimen.

“Kadang-kadang terasa yang diri ini seperti peminta sedekah. YB yang tiada duit dan tiada kuasa!

“Ahli Majlis mempunyai lebih kuasa dari Ahli parlimen. Agaknya inilah di antara sebabnya kenapa Umno-BN melantik Adun dan ahli Parlimen menjadi Ahli Majlis (selain daripada untuk menguasai pengagihan projek),” kata Siti Mariah.

Siti Mariah juga berkata akan menulis secara mendalam mengenai keperluan ahli-ahli Majlis dipilih rakyat secara langsung.

Bagaimanapun beliau mengakui kekangan yang dialami untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Akhir tahun lalu, Exco kerajaan negeri Selangor Ronnie Liu dipetik sebagai berkata di bawah peruntukan Seksyen 15(1) Akta Kerajaan Tempatan sebagai alasan bahawa kerajaan negeri tidak boleh mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan sendiri.

Kuasa mengadakan pilihan raya berada di tangan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Walaupun Ronnie Liu menambah, kerajaan Selangor berusaha ke arah pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan, tetapi tetap mencetuskan pertikaian yang mengundang kritikan apabila beliau mendakwa wujudnya “dua suara” dalam pasukan petugas khas yang mengkaji pilihan raya kerajaan tempatan.

Dua pandangan dalam pasukan petugas khas yang terdiri daripada ahli akademik, peguam dan NGO.

Ada yang bertanggapan kerajaan negeri tidak boleh mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan kerana memerlukan persetujuan kerajaan persekutuan; di samping ada pula yang menganggap Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan belum dimansuhkan, maka kerajaan negeri boleh menggunakan akta ini untuk memulihkan pilihan raya tempatan.

Dalam tulisannya beliau berharap semua PBT dapat melancarkan program pemutihan penjaja dan peniaga yang sudah lama berniaga manakala peniaga warga asing tidak perlu dilayan untuk menjalankan perniagaan.

“Saya percaya penguat kuasa sudah tahu siapa mereka dan tempat perniagaan mereka. Kalau tempat perniagaan mereka memang tidak sesuai sangat untuk perniagaan, carilah tempat lain.

“Sebaik-baiknya pusat-pusat penjaja perlu diwujudkan dan kebersihan dan keceriaan tempat-tempat ini perlu titik beratkan,” katanya.

Kata Siti Mariah, PR perlu membuat perubahan sistem yang ada.

“Apa gunanya jika semua syarat dan peraturan dahulu diterima pakai kalau ia menyusahkan rakyat.

“Pihak yang berkuasa patut memikirkan bagaimana membantu rakyat dan pada masa yang sama membangunkan bandar,” katanya.

Sambil mengatakan bahawa beliau tidaklah hendak mengajar pihak-pihak terlibat apa yang patut dibuat, Siti Mariah berkata, “masalah penjaja ini bukan baru sudah bertahun.”

“Mungkin YB Ronnie Liu kena anjur satu bengkel untuk memikirkan bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini,” katanya lagi.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: