"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Fairus nafi tuntut ‘pampasan’ syarat lepaskan jawatan

KUALA LUMPUR, 1 Mac: Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang Mohd Fairus Khairuddin berkata, beliau tidak pernah menuntut diberi ‘pampasan’ lima angka setiap bulan sebagai syarat meletakkan jawatan itu dan sebagai Adun Penanti tahun lalu.

Fairus yang semalam keluar PKR untuk menyertai Umno mendakwa apa yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali pagi tadi sebagai fitnah dan kenyataan yang tidak berasas sama sekali.

“Apa yang dikatakan oleh PKR adalah kenyataan politik kebudak-budakkan, saya tidak mahu melayan mereka... mereka tiada modal untuk berpolitik. Jadi mereka mengatakan saya meminta supaya diberikan bayaran setiap bulan.

“Saya sebenarnya sudah menjangkakan mereka akan bercakap macam ini,” kata Fairus ketika dihubungi The Malaysia Insider hari ini.

Mengulas pendirian Fairus keluar PKR untuk menyertai Umno, Syed Husin berkata sejak Fairus menyertai kerajaan Pulau Pinang dan selepas meletakkan jawatan sehingga terkini, beliau merupakan satu liabiliti.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Syed Husin berkata, apabila berhenti Fairus menuntut supaya parti melunaskan hutang untuk dua buah kereta mewahnya dan membayar beliau RM15,000 sebulan buat selama-lama yang ditentukannya.

“Tidak ada sebab bagi parti melayan tuntutan itu. Lagipun parti tidak mampu berbuat demikian.

“Atas rasa belas kasihan terhadap anak isterinya seorang baik hati memberikannya “kerja” dengan bayaran bulanan sebanyak RM4,000,” kata Syed Husin lagi.

Katanya beliau tidak berpuas hati dan oleh itu terus memburukkan pimpinan PKR.

“Kini beliau sudah berjumpa dengan pemimpin Umno yang boleh membayarnya jauh lebih besar dari itu.

“Fairuz memberikan alasan kaum dan agama (untuk keluar) kerana tindakannya sangat memalukan. Beliau sendiri, kawan-kawannya dan Allah mengetahui sebab sebenar,” katanya.

Ketika ditanya sama ada akan mengambil tindakan terhadap PKR dan Syed Husin, Fairus berkata beliau tidak akan memikirkan perkara itu kerana ada agenda yang lebih besar untuk dilaksanakan selepas menyertai Umno.

“Sebenarnya sebagaimana saya katakan semalam, ada pihak dalam PKR sendiri yang menekan saya supaya meletakkan jawatan, saya keluar dengan baik dan demi kestabilan parti,” katanya.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: