"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKR : Siapa Keluar Selepas Ini?

Nobisha

Adakah orang politik mempunyai penyakit yang sama?Sebelum ini, apabila pemimpin UMNO ditegur, mereka menafikan. Sampai sekarang masih ada pemimpin UMNO yang melenting apabila ditegur. Sindrom penafian.Ingatkan penyakit ini ada di kalangan pemimpin UMNO saja. Rupa-rupanya hal yang sama berlaku di kalangan pemimpin PKR.

Mula-mula dua orang ADUN Perak keluar PKR. Kemudian seorang ADUN di Kedah dan di Selangor berbuat demikian. Hari ini, Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng pula mengumumkan keluar PKR. Semalam, bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang (PKR), Mohamad Fairus Khairuddin keluar parti itu. Mengikut bekas Setiausaha Agung PKR yang juga telah keluar PKR, lebih ramai lagi anggota legislatif akan keluar parti itu dalam jangka masa terdekat.

Setiap kali apabila ada pemimpin parti itu keluar PKR, reaksi mereka ialah “Baguslah, ini satu proses pembersihan.” Mereka lupa bahawa yang keluar ini bukanlah budak hingusan di cawangan, tetapi pemimpin yang kemudiannya diangkat mewakili masyarakat. Sekiranya pemimpin perlu dibersihkan dengan cara keluar parti, maka PKR berhadapan dengan masalah yang cukup besar!

Dalam hal ini, saya berpendapat UMNO, PKR atau apa saja parti politik harus melihat kritikan terhadap parti dan pemimpin adalah sesuatu yang positif. Dalam sektor korporat, aduan dianggap sebagai hadiah. Dengan adanya aduan, maka sesebuah organisasi boleh melakukan intervensi dan penambahbaikan.

Pada masa ini, PKR mempunyai 30 kerusi Dewan Rakyat, DAP 28 dan PAS 23. Sekiranya tiga anggota Dewan Rakyat PKR melompat parti, DAP akan menjadi parti pembangkang yang mempunyai kerusi paling banyak di dewan tersebut. Secara konvensyennya, DAP akan mengambilalih Ketua Pembangkang. Sekiranya Dato’ Seri Anwar Ibrahim kekal pada jawatan tersebut, ia adalah dengan ehsan DAP dan PAS, bukan kerana parti itu mempunyai kerusi paling banyak (kita bercakap soal merit di sini).

Apa yang saya lihat sekarang ialah pemimpin PKR membenamkan kepala dalam pasir dan menganggap parti itu tidak ada masalah. Bagi mereka, yang bermasalah ialah ADUN dan Ahli Dewan Rakyat yang keluar parti. Begitulah betapa naifnya cara berfikir sesetengah pemimpin PKR.

Sekiranya pemimpin PKR melihat insiden ini sebagai satu pembersihan, saya fikir akan sampai masanya ramai yang keluar parti dan PKR “benar-benar bersih” sehingga tidak ada penyokong tegar lagi.

Disebabkan sikap angkuh ini, sekarang sudah ada anggota legislatif yang berbisik kepada teman-teman bahawa tak guna menegur atau cuba memperbaiki kelemahan dalam parti itu. Akhirnya, mereka dicap sebagai petualang. Atau, dikatakan sebagai tali-barut UMNO (istilah yang cukup popular) atau dibeli oleh Barisan Nasional (satu lagi character assassination yang membasahi bibir pemimpin-pemimpin PKR).

Selama mana pemimpin PKR dilanda sindrom penafian atau “denial syndrome”, selama itulah rakyat akan menyaksikan anggota legislatif meninggalkan parti itu.

Sekarang pun sudah ada orang bertanya: Siapa lagi selepas ini?

http://nobisha.com/home/

Tiada ulasan: