"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Surat terbuka JAG kepada Hishammuddin persoal hukuman sebat

KUALA LUMPUR, 2 Mac: Kumpulan Tindakan Bersama Kesaksamaan Gender (JAG) dalam surat terbukanya kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempersoalkan motif melaksanakan hukuman sebatan ke atas tiga wanita Islam awal bulan lalu, sambil mendakwa ia dilakukan dengan “rahsia.”

Surat terbuka itu bertarikh 25 Februari itu menyentuh empat perkara.

Perkara pertama yang ditimbulkan dalam surat itu mempersoalkan mengapa hukuman sebatan itu dilaksanakan dengan begitu rahsia di Penjara Kajang.

“Mengapa begitu berahsia? Pengumuman pelaksanaan hukuman sebatan hanya dibuat selepas lebih seminggu tiga wanita dan empat lelaki disebat secara berahsia dan melakukan ini dengan senyap mungkin menggambarkan bahawa kerajaan mahu menyembunyikan layanan tidak adil dan tindakan menjatuhkan maruah daripada penilaian orang ramai,” kata surat terbuka itu yang salinannya diedarkan kepada media.

Surat terbuka itu berkata Kementerian Dalam Negeri mengetepikan semua pandangan masyarakat madani walaupun wujudnya hujah membantah hukuman merotan ekoran isu bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor tahun lalu, sebaliknya meneruskan pelaksanaan hukuman itu.

Surat JAG itu disokong oleh Women’s Aid Organisation, Sisters in Islam, Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor, All Women’s Action Society dan Women’s Centre for Change.

Perkara kedua surat terbuka itu mengetengahkan pelanggaran hak asasi manusia dengan menegaskan bahawa perakuan

Hishammuddin terhadap pelaksanaan hukuman sebatan ke atas ketiga-tiga wanita dan empat lelaki terbabit telah menjejaskan lagi rekod hak asasi Malaysia.

Surat terbuka JAG juga berkata tindakan itu turut bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu JAG mahu hukuman sebatan di bawah Kanun Keseksaan dan undang-undang syariah tidak kira lelaki atau wanita.

“Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin kesaksamaan bagi semua wanita di Malaysia dan kini satu kumpulan kaum wanita iaitu wanita Islam tertakluk kepada hukuman sebatan di mana wanita kaum-kaum lain terkecuali.

“Di bawah undang-undang persekutuan, seseorang wanita tidak boleh dirotan, tetapi di bawah undang-undang syariah mereka dibolehkan.

”JAG tidak minta kesemua wanita di Malaysia tertakluk kepada hukuman sebatan dalam usaha untuk membentulkan diskriminasi,” kata surat itu.

Surat terbuka itu juga mempersoalkan sama ada soal dasar kesusilaan atau moral kini menjadi salah satu tangggungjawab dan akan dilaksanakan menerusi Kementerian Dalam Negeri.

JAG, dalam surat tersebut itu menambah pihaknya ada memohon untuk menemui Hishammuddin sehari selepas mengumumkan bahawa ketiga-tiga wanita berkenaan sudah menjalani hukuman sebatan.

Pada 17 Februari lalu, Hishammuddin berkata tiga orang wanita Islam telah menjalani hukuman sebatan 9 Februari, menjadikan yang pertama menjalani hukuman ini di bawah undang-undang Syariah kerana mengadakan hubungan seks haram.

Tiga pesalah wanita itu bersama empat lagi pesalah lelaki dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga bulan lalu.

Langkah melaksanakan hukuman sebatan ke atas wanita mencetuskan kontroversi tahun lalu selepas Kartika yang dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu setelah mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Pengumuman Hishammuddin itu mencetuskan semula polemik mengenai hukuman sebatan, ada yang menyokong dan ada membantah langkah tersebut.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: