HULU SELANGOR 19 APR: Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad bimbang peruntukan bagi membantu rakyat yang kesusahan, diseleweng Umno Barisan Nasional dan disalur sebagai dana kempen pilihan raya.
Ia berikutan jumlah peruntukan yang digunakan bagi membaiki bumbung penduduk Bukit Beruntung melalui program Juara rakyat, lebih besar dari kos sebenar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan kos membaiki bumbung bagi 52 blok rumah ialah RM17 juta.
Bagaimanapun, pengiraan Iskandar mendapati kos anggaran untuk proses pembaikan ini hanya kira-kira RM10.2 juta.
“Saya mempertikai ke manakah perginya RM7 juta lagi yang diperuntukkan kerajaan Persekutuan. Katalah mereka mengecat setiap blok, kos untuk mengecat setiap blok hanyalah lebih kurang RM40,000.
"Ini bermakna kos keseluruhan adalah RM13 juta sahaja, bermakna ada RM4 juta yang tidak tahu ke mana perginya,” katanya pada program merasmikan perpustakaan desa di Ulu Bernam di sini, hari ini.
Kata Iskandar, kerajaan negeri memiliki pengalaman membaik pulih 2 bumbung rumah yang anggaran kosnya adalah RM200,000 satu bumbung.
Beliau berkata, kos bagi setiap bumbung apabila melibatkan 52 blok pasti akan lebih murah berbanding membaiki satu blok.
Iskandar bimbang lebihan kos membaiki 52 blok itu diseleweng dan digunakan bagi menampung perbelanjaan kempen Umno BN bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor
“Kita mengalu-alukan mereka hendak baik pulih bumbung-bumbung. Tetapi pastikan segala peruntukan itu disalur kepada rakyat, bukan digunakan untuk mengkayakan kroni-kroni atau tujuan politik,” katanya.
-tvselangor-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan