"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno jadikan Hulu Selangor tradisi MIC

Subky Latif
HULU Selangor sejak merdeka tidak pernah menjadi kawasan minoriti pengundi Melayu. Ia adalah kawasan Parlimen yang bermajoritikan pengundi Melayu.

Bagi pengundi Melayu yang sudah mengundi tahun 1959 dan pengundi yang baru lahir tahun 1959, sekalipun mereka pengundi majoriti tetapi mereka terus menerus berMPkan kumpulan manoriti.

Dalam pengagihan kerusi Parlimen Umno telah menjadikan kawasan itu sebagai kawasan tradisi bukan Melayu. Mula-mula ia diberikan kepada MCA dan kemudiannya empat kali berturut-turut hingga PRU 12 ia wakili oleh MIC hingga MIC mengiranya ia adalah kawasan tradisinya.

MIC gagal mempertahankan kawasan itu dalam pilihan raya umum lalu. Mungkin kerana mahukan perubahan, mungkin kerana Pakatan Rakyat begitu berpengaruh di situ dan mungkin juga mereka hendak merasa berwakil rakyatkan orang Melayu, maka mereka memilik calon Melayu PKR menjadi Mpnya.

Bagi pengundi yang berusia 50 tahun ke atas setelah menunggu lama merasa juga berMPkan orang Melayu. Tiba-tiba MP Melayu diserang barah otak hingga membawa maut menghalangnya memberi perkhidmatan di kawasannya.

Maka bersuaralah orang Umno yang sudah berjuang sejak sebelum merdeka hendakkan calon Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor 25 April ini diberikan kepadanya.

Tetapi dari awal lagi MIC membuat kenyataan bahawa Hulu Selangor adalah kawasan tradisi MIC. Tidak wajar diberikan kepada Umno. Atas faktor itu Datuk Seri Najib sebagai Pengerusi Barisan Nasional terpaksa tunduk kepada MIC. Sekali lagi Umno kempunan untuk meletakkan calonnya.

Sebagai kerabat BN, Umno terpaksa berkorban demi kepentingan BN. Mesti ada di mana-mana di Selangor atau di luar Selangor satu atau dua kawasan diberi kepada MIC sekali pun tidak terdapat di mana-mana kawasan pengundi India menjadi majoriti. Tidak adil kalau MIC tidak diberi kerusi. Umno harus faham.

Memberi kerusi pada MIC adalah betul dan adil kerana MIC telah memberikan kesetiaan kepada BN sejak sebelum merdeka. Sokongan merekalah yang memudahkan kemerdekaan dicapai.

Umno telah bersikap adil memberi calon MIC bertanding di Hulu Selangor tetapi menjadikan Hulu Selangor sebagai kawasan tradisi MIC tidak begitu adil kepada Umno yang bermati-matian berjuang dalam Umno sejak dari mula.

Dengan menjadikan ia kawasan tradisi MIC, maka Umno hilang peluang untuk menjadi calon selama-lamanya. Ia akan menjadi Umno Hulu Selangor tidak bernasib baik dibandingkan dengan Bahagian-Bahagian Umno yang lain.

Tidak salah kalau ada yang menyangka Umno Hulu Selangor telah ditindas sejak mula. Apa sialnya maka ia sepanjang sejarah Umno dan negara menjadi penyokong kepada parti kerabatnya saja?

Nasib Umno Hulu Selangor itu samalah seperti nasib Umno Sungai Siput yang lebih awal dijadikan kawasan tradisi MIC. Sungai Siput adalah kawasan majoriti Melayu sejak sebelum merdeka.

Ia diberi kepada MIC kerana MIC mesti diberi kerusi dalam pilihan raya 1955. Pengundi India tidak ramai bahkan jauh kurang dari pengundi Cina. Ia diberi kepada MIC pada masa itu kerana Presiden MIC masa itu V.T. Sambathan tinggal di Sungai Siput. Dia ada sekolah Inggeris swasta di situ.

Sekali Sungai Siput diberi kepada Sambathan, maka selagi dia tidak berundur, maka kekallah kerusi itu untuknya. Selepas dia berundur disambung pula oleh Samy Vellu yang didatangkan dari luar hinggalah Samy Vellu kalah tahun 2008.

Adakah adil untuk Umno Sungai Siput? Untuk Umno adil tetapi untuk Umno Sungai Siput, keadilan itu tidak dirasakannya. Sama seperti yang dirasakan oleh Umno Hulu Selangor.

Untuk berlaku adil kepada Umno, maka kerusi Hulu Selangor itu patut diberi kepada Umno pula. Ada pun MIC sediakan pula di kawasan lain. Beri ia Tanjung Karang atau Sabak Bernam dalam pilihan raya umum nanti.

Mungkin tiba masanya Umno diberi Sungai Siput kali akan datang manakala MIC boleh dihantar ke Bagan Datoh, Bagan Serai atau Tambun. Kalau Sungai Siput boleh diberi kepada MIC sedang tahun 1955 ia bukan kawasan bermajoriti India, maka apa salahnya MIC diberi Kuala Kangsar, Lenggong atau Grik.

Apa salahnya kali ini MIC bertanding di Pekan atau di Kepala Batas? Datuk Seri Najib pergi pula ke Rompin atau ke Bera. Datuk Najib tentu diterima di mana-mana saja kecuali Permatang Pauh. Tidak semestikan dia bertanding di Pekan saja.

Jika Pekan diberi kepada MIC, tidak bererti Pekan pula jadi kawasan tradisi MIC. Pilihan raya selepas itu boleh diberi balik kepada Umno dan MIC hantar pula ke tempat lain.

Mengekalkan MIC di satu tempat saja seperti di Sungai Siput dan di Hulu Selangor, boleh melemah dan mematikan semangat Umno dan boleh menyebabkan orang Melayu Sungai Siput dan Hulu Selangor masa akan datang berfikir banyak kali untuk masuk Umno.

Boleh digilirkan. Paling lama satu kawasan diberi kepada MIC ialah dua kali pilihan raya. Kalau calon MIC masih menang, maka boleh ditukarkan ke tempat lain pula. Umno tempatan tidak boleh membantah. Kalau Umno Sungai Siput dan Umno Hulu Selangor boleh terima pencalonan MIC, maka tidak ada sebab Umno Pekan dan Umno Kepala Batas boleh menolak.

MIC sudah pernah kalah di Singai Siput dan Hulu Selangor sekalipun masing-masing dikira kawasan tradisi MIC. Sepatutnya inilah masa yang baik bagi Najib memberi peluang pula kepada Umno untuk merasa menjadi calon setelah berpuluh-puluh tahun ia dinafikan.

Bukan memberi kepada Umno bermakna menafikan hak MIC. Janji dan pastikan MIC akan diberi tempat lain. Dengan demikian tidak berbangkit lagi isu kawasan tradisi MIC dan tiada lagi Bahagian Umno dianak tirikan sepajang hidup.

Tiada ulasan: