"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zaid yakin pengundi Hulu Selangor bersamanya

Nazeri Abdullah
PETALING JAYA, 21 April:
Calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim yakin rakyat Hulu Selangor bersama beliau biarpun diserang hebat Barisan Nasional dengan isu pribadi.

Menurutnya, dari respon yang diterima sepanjang berkempen, masyarakat Hulu Selangor termasuk Melayu, Cina, India dan Orang Asal menyambut baik agenda yang diketengahkannya.

"Orang Cina pada saya begitu bersemangat, mereka mungkin ingat jasa-jasa saya di parlimen walaupun menjadi wakil rakyat BN dulu.

"Saya sentiasa memperjuang soal ISA, budaya mereka, sekolah dan sebagainya," kata beliau dalam temubual khas dengan Harakahdaily.

Orang India yang ditemui pula jelasnya sudah sedar dengan pengainayaan yang telah dilakukan pemimpin mereka sebelum ini dan bersedia menyokong wakil rakyat yang bukan dari kaum mereka sendiri.

"Saya menyeru kepada orang India, baik beri kepercayaan kepada orang Melayu kerana 18 tahun beri kepercayaan kepada orang India, tak jaga mereka pun," katanya lagi.

Mengulas isu serangan peribadi terhadapnya, beliau berpendapat rakyat Hulu Selangor mampu menilai sendiri kejujurannya dan tidak termakan apa yang dicanang Umno BN.

"Sebahagian besar orang Melayu Islam kita akan menilai seadil-adilnya.

"Saya yakin serangan peribadi ini kalau berkesan pun kecil sangat, tapi tak mampu untuk mengalahkan saya," katanya.

Tambahnya lagi, tumpuannya kini adalah bertemu seramai mungkin warga Hulu Selangor, menjelaskan agenda pembaharuan yang akan dibawa.

Beliau juga tidak akan menggunakan kaedah sama menyerang peribadi calon mahupun pemimpin Umno lain.

Dengan sokongan padu dari PAS, PKR dan DAP dan perpecahan yang berlaku dalam BN, beliau yakin mempunyai peluang untuk mencurah bakti kepada masyarakat Hulu Selangor.

Tiada ulasan: