"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nasihat ulama muda Umno

Fathul Bari Mat Jahya

Masih teringat lagi tarikh keramat 25 Jun 2010, di PWTC. Saya dan beberapa sahabat menyerahkan borang penyertaan Umno kepada perdana menteri.

Pelbagai respons diperolehi daripada teman-teman seperjuangan, juga masyarakat yang peka terhadap perkembangan politik semasa.

Ada yang memberi semangat dan ada yang memberi nasihat. Tidak kurang juga ada pihak yang mencemuh dan membuat pelbagai tuduhan palsu.

"Ustaz, teruskan perjuangan, teruskan dakwah. Ustaz, kena banyak nasihati Umno. Ustaz, lakukan perubahan dalam Umno, jadikan mereka cinta kepada Islam," kata mereka.

Respons positif seperti ini membuatkan kami terus bersemangat. Terima kasih kami ucapkan. Bagaimanapun, perlu diketahui bahawa sesuatu nasihat itu bukan untuk Umno semata-mata. Bahkan nasihat adalah untuk semua manusia.

Rasulullah SAW bersabda:
"Agama itu nasihat. Para sahabat bertanya, untuk siapa nasihat itu? Nabi bersabda, untuk Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemerintah Muslim dan manusia umumnya." (Riwayat Muslim, hadis nombor 55).

al-Khatthobi ketika menjelaskan erti nasihat berkata: "
Menjamin atau menghendaki kebaikan bagi yang diberi nasihat." (lihat Syarh Shahih Muslim al-Imam al-Nawawi).

Adakah Umno sahaja yang sering melakukan kesilapan dan perlu dinasihati? Adakah PAS dan PKR tidak pernah melakukan kesalahan? Wahai manusia, usah terlalu prejudis.

Sibuk cari kesalahan orang


Sabda Nabi SAW, maksudnya: "
Setiap anak adam melakukan kesalahan, dan sebaik-baik pesalah adalah yang bertaubat atas segala kesalahannya." (Riwayat al-Tirmidzi, hadis nombor 2499).

Nah, Rasulullah sendiri menyatakan setiap anak Adam pasti melakukan kesalahan. Maka, usah kita tunding menuding antara satu dengan yang lain.

Sewajarnya, di mana ada kesalahan, maka di situ perlu ada nasihat tanpa mengira agama, parti, bangsa dan warna kulit.

Soal bagaimana nasihat itu perlu dilakukan, ia perlu kembali kepada etika-etika yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Kadang kala, si
jasus (mata-mata) yang sibuk mencari kesalahan orang lain terlupa tentang dirinya. Akidah, ibadah dan akhlaknya bagaimana?

Jiwanya kacau, kerana itu mereka sering meracau.

Bagi pihak yang dikritik, sekiranya kritikan tersebut kena pada tempatnya, maka menjadi satu kewajipan baginya untuk menerima dengan hati yang terbuka.

Ustaz kena pastikan wanita Umno bertudung!


Takutilah firman Allah, maksudnya:

"
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak digunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." (surah al-A'raf, ayat 179).

Imam Ibnu Kathir ketika mengulas ayat di atas menyatakan: "Mereka (ahli neraka) tidak memanfaatkan anggota yang Allah jadikan sebab untuk mendapat hidayah." (Tafsir Al-Quran al-'Adzhim).

Sebaliknya, jika kritikan tersebut merupakan fitnah dan tuduhan palsu, maka usah cepat melatah. Berdiam di samping muhasabah diri adalah tindakan bijak.

Teringat saya pada satu syair Imam Syafie: "
Berkatalah sesuka hatimu untuk menghina kehormatanku. Maka diamku dari orang yang hina adalah suatu jawapan . Bukanlah ertinya aku tidak memiliki jawapan, tetapi tidak pantas bagi seekor singa melayani kerenah anjing-anjing. (Lihat Diwan al-Syafi'e).

Bagaimana pula dengan sindiran seperti: "Selamat menjadi orang kaya. Ustaz kena pastikan semua orang Umno simpan janggut bulan depan! Ustaz kena pastikan semua wanita Umno bertudung! Ustaz kena pastikan hukum hudud dilaksanakan segera! Ustaz kena hapuskan rasuah!"

Terasa letih mendengar suara-suara sindiran sebegitu. Bagaimanapun, saya dan para sahabat jadikan ia sebagai satu dugaan dan cabaran.

Perjuangan tanpa dugaan ibarat berbuka puasa tanpa manisan. Apatah lagi Allah SWT telah menetapkan ujian bagi sesiapa yang beriman.

Rasuah, hudud dan mata duitan


Firman-Nya, bermaksud: "
Adakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum dari mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang berdusta." (surah al-'Ankabut, ayat 2-3)

Suara-suara sindiran tadi adalah harapan dalam berbentuk ugutan. Seolah-olah hidayah berada di tangan kami. Sedangkan Nabi SAW tidak mampu merubah hati saudaranya sendiri dari kekufuran kepada keimanan. Apatah lagi kami.

Hairan apabila manusia cuba mencabar tugas Allah.

Bahkan adakah amalan rasuah, menolak hudud dan mata duitan merupakan dasar Umno? Sudah tentu tidak.

Sebaliknya, mungkin ia berlaku pada individu-individu tertentu yang mendahulukan hawa nafsu mengatasi disiplin beragama. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Sebenarnya kesalahan itu boleh berada di mana-mana dan pengawalnya adalah takwa, bukan parti politik atau kelompok tertentu.

Kerana itu, Allah berfirman, maksudnya: "
Sesungguhnya yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa." (surah al-Hujurat, ayat13).

Oleh itu, isu melibatkan individu, usahlah dimaklumkan kepada umum kerana ia termasuk dalam kategori mengumpat.

Mungkin ada yang berkata, isu tersebut memberi kesan kepada masyarakat di Malaysia. Saya katakan: "Adakah anda telah menasihatinya?"M/kini

Fathul Bari Mat Jahya merupakan pengerusi jawatankuasa kerja Sekretariat (Ulama Muda UMNO (iLMU ). Graduan hadis daripada Universiti Islam Madinah dan Universiti Yarmouk Jordan itu kini sedang menyiapkan tesis PhD dalam bidang yang sama di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Beliau kini bertugas sebagai penasihat agama di Institut Jantung Negara.

Tiada ulasan: