"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRU13: Tengku Razaleigh Masih Di Gua Musang?

BayangDiAir
Jelas UMNO ingin mengenyahkan Tengku Razaleigh daripada menjadi watak penting politik tanahair. Beliau kemungkinan besar tidak lagi dicalonkan untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen atau DUN. Nama, ketokohan, ilmu dan pengalaman Tengku Razaleigh tidak lagi dinilai dan diangkat seperti mana mereka terus mengangkat Datuk Seri Rais Yatim yang seangkatan dengannya.

Kini Tengku Razaleigh bagai membawa haluan sendiri dan menyedari sikap dan tindak kepimpinan UMNO terhadapnya. UMNO bukan main sakit hati apabila beliau sanggup memenuhi hajat PAS Kelantan dalam isu tuntutan royalti petroleum. Dalam dialog Sidang Kemuncak Tahunan Kepimpinan Pelajar Malaysia Keempat di Kuala Lumpur, nada dan tingkah Tengku Razaleigh seolah-olah mencabar anak-anak muda agar bangkit menentang dan merobohkan kekuasaan yang dibelenggu rasuah dan sifat munafik yang semua orang faham sasarannya ialah pemimpin UMNO kini. Terbaru, beliau menyokong penggunaan dinar dan dirham Kelantan yang kontradik dengan dengki dan dendam pemimpin UMNO yang lain.

Berdasarkan pencak silat politik selepas PRU12, jurus dan pukulan Tengku Razaleigh banyak dituju kepada batang hidung UMNO. Hatinya nampak mendekati Pakatan Rakyat. Cuma istilah ‘katak’ yang diberikan kepada ahli politik yang melompat parti agak mengganggu emosinya untuk kembali kepada posisi pembangkang. Dari UMNO kepada Semangat 46 dan kembali kepada UMNO. Kalaulah beliau ke seberang pula untuk bersama PAS atau PKR, sudah pasti beliau turut digelar sebagai ‘pakar lompat’. Kali ini bukan oleh ahli dan pemimpin Pakatan Rakyat tetapi UMNO-lah pula yang akan mendendangkan lagu lompat si katak lompat itu.

Namun Tengku Razaleigh tidak sepatutnya malu untuk melompat walaupun diumpamakan sebagai apa spesis katak pun. Beliau perlu merujuk tindakannya sama ada selari dengan Islam atau tidak. Kalau melompat dari suatu dunia kepalsuan kepada dunia kebenaran apa salahnya. Itu hijrah namanya. Kalau dikatakan melompat pun, biarkanlah, asalkan lompatan itu mulia di sisi agama. Pedulikan. Bukankah husnul khatimah iaitu kesudahan yang baik itu lebih dekat dengan kasih sayang dan keampunan Allah? Bukan sahaja Tengku Razaleigh. Mana-mana individu sama ada ahli politik, seniman, wartawan mesti melompat ke pulau baru yang lebih indah, suci dan murni.

Sebenarnya ilmu, kepimpinan dan pengalaman Tengku Razaleigh adalah aset negara. Tindakan UMNO meminggirkannya tidak mampu menafikan keterampilannya. Beliau wajar disambut malah ditarik lengannya oleh PAS atau PKR. Persoalan yang mungkin bermain dalam minda penggiat politik ialah sanggupkah beliau diizinkan bertanding atas tiket PAS atau PKR sepertimana kemurahan hati yang telah diberikan kepada Ibrahim Ali? Atau adakah cara terbaik ialah beliau segera menjadi ahli PAS atau PKR agar lebih diyakini untuk bertanding atas tiket Pakatan Rakyat?

Entahlah. Kita tidak dapat menyelami hati beliau dengan lebih mendalam. Tetapi kita amat menanti-nantikan kehadirannya dalam Pakatan Rakyat sebagai seorang negarawan yang ingin mengakhiri riwayat politik dalam jamaah yang diredhai Allah. Insya-Allah kerusi Parlimen Gua Musang akan menjadi milik kita. Dan jasa beliau terhadap negara mampu menjana sokongan dari seluruh negara sebagai menokok tambah kekuatan yang sedia terbina.

Tiada ulasan: