"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemuda PAS sambut baik Pemuda Gerakan bincang hudud

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 25 Ogos:
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyambut baik kesediaan Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang yang telah memberikan persetujuan untuk mengadakan perbincangan bersama berkaitan dengan hudud.

Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, kenyataan Keng Liang hadir setelah DPPP mengeluarkan satu kenyataan media sebelum ini yang telah menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan mana-mana pihak bagi mendapatkan penjelasan mengenai hudud.

“Kenyataan beliau mengenai hudud yang tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia yang telah disiarkan di dalam laman web Malaysiakini sebelum ini telah mendapat perhatian DPPP apabila beliau telah mengulas berkaitan dengan kesediaan untuk mengadakan pertemuan tersebut melalui laman Facebook,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, katanya, Keng Liang telah menegaskan yang PAS harus sedar bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang jenayah telah diperuntukan di bawah Kanun Keseksaan yang sedia ada.

Antara kenyataan beliau lagi: ‘Negara kita, yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum dan agama, telah kian lama menolak perlaksanaan hukum hudud. Antara hukum hudud adalah hukuman potong tangan bagi pencuri dan rejam bagi penzina’.

DPPP, kata Khairul Faizi menghormati pandangan itu yang mana DPPP percaya ianya telah dikongkong oleh kekurangan ilmu dan maklumat tentang hukum hudud serta ditambah lagi dengan gambaran negatif yang telah dikemukakan oleh pemimpin Umno sebelum daripada ini tentang kononnya undang-undang hudud zalim dan sudah tidak sesuai dilaksanakan pada zaman sekarang.

“DPPP akan mengaturkan pertemuan dengan beliau dalam masa terdekat dan dijangkakan pertemuan tersebut akan berlaku selepas bulan Ramadhan ini.

“DPPP melihat langkah yang dibuat oleh Tan Keng Liang amat bertepatan sama sekali dan amat wajar dicontohi oleh pemimpin-pemimpin yang masih kabur dan bimbang dengan undang-udang hudud ini,” ujarnya lagi.

DPPP juga, katanya ingin mendapatkan gambaran daripada beliau tentang hukum hudud daripada pandangannya.

“Mudah-mudahan pertemuan ini akan mencambahkan pemikiran dan segala kekeliruan berkaitan isu ini dapat dileraikan dan kemudiannya dapat melihat betapa indah dan adilnya hukum yang Allah SWT tetapkan kepada manusia demi menjaga kesucian, keharmonian dan peradaban sesama makhluk ciptaan Allah,” ujar Khairul Faizi lagi.

Tiada ulasan: