Harakahdaily
PETALING JAYA, 28 Ogos: Ahli Parlimen DAP bagi Serdang Teo Nie Ching kesal dengan tindakan pihak tertentu mempolitikkan isu kunjungannya ke Surau Al-Huda, Kajang sehingga menimbulkan keresahan umat Islam.
Beliau dalam satu kenyataan berkata kehadirannya menghulur bantuan ke surau tersebut adalah ikhlas dan bukan berkepentingan politik.
"Saya menyesal bahawa perkara ini telah menimbulkan perasaan keresahan antara umat Islam negara kita dan isu ini telah diperhangatkan oleh pihak-pihak tertentu atas sebab-sebab politik.
"Saya ingin menegaskan secara ikhlas dan murni bahawa lawatan saya ke Surau Al-Huda tidak berniat politik, dan tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan," katanya.
Menurutnya lagi, setelah menyampaikan sumbangan untuk memperbaiki pagar surau, beliau telah dijemput berucap pada majlis tersebut.
"Saya dengan secara ikhlas memberikan sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor," jelasnya.
Ekoran isu tersebut telah dipolitikkan, beliau sedia mengambil langkah lebih berhati-hati agar perkara sama tidak berulang.
Beliau juga akan akan memajukan penjelasan dan permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, mengenai perkara tersebut.
"Saya menyambut baik pesanan, peringatan dan nasihat dari semua pihak mengenai perkara tersebut, dan akan dengan segala upaya, menjalankan tugas saya dengan lebih berhati-hati supaya tidak menimbulkan perasaan kurang senang dan perselisihan faham di kalangan umat Islam pada masa yang akan datang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan