Selepas lebih sepuluh tahun, akhirnya 354 peneroka Felda Kemahang 3 dari Kelantan mendapat khabar gembira apabila Mahkamah Persekutuan hari ini mengarahkan Felda membayar RM11 juta kerana menipu peneroka tersebut berhubung gred buah kelapa sawit mereka.
Ia berikutan keputusan mahkamah itu yang menolak permohonan Felda yang mencabar keputusan yang dibuat oleh panel lain yang sebelum ini mengketepikan rayuan berkenaan.
Lebih 150 peneroka hadir pada perbicaraan yang penuh sesak ini manakala ratusan lagi berhimpun di luar menantikan penghakiman. Kebanyakan mereka mengagahi perjalanan lebih sembilan jam dari Kelantan untuk mencari keadilan.
Dengan penghaliman hari ini, setiap peneroka itu dijangka menerima RM25,000 hingga RM30,000 setiap seorang.
Ini adalah saman pertama yang dikemukakan oleh peneroka terhada Felda.
Keputusan hari ini mempunyai implikasi besar ke atas Felda dan kerajaan kerana ia akan menyaksikan lebih banyak saman difailkan dan mengugat kepercayaan sebelum ini bahawa penubuhan agensi kerajaan itu oleh perdana menteri kedua, Tun abdul Razak Hussein bagi meningkatkan kebajikan masyarakat bumiputera dengan menaikkan taraf hidup mereka sebenarnya mempunyai kepincangan.
Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Md Sheriff mengetuai panel tiga hakim dalam perbicaraan hari ini.
Katanya, keputusan sebulat suara itu dibuat kerana mahkamah hari ini tidak mempunyai jurisdiksi untuk mengkaji keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan sebelum ini.
"Justeru, rayuan itu ditolak."
Hakim lain adalah Datuk Hashim Yusof dan Datuk Md Raus Sharif.
Pada 19 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan enggan membenarkan Felda untuk merayu dan mengarahkannya supaya membayar pampasan kerana menipu 354 peneroka sejak 1995.
Panel tiga orang hakim ketika itu diketuai oleh Tun Zaki Azmi yang sebulat suara enggan membenarkan Felda membuat rayuan.
"Mahkamah puas hati bahawa tiada mana-mana bahagian dalam undang-undang bagi perkara ini disemak semula oleh mahkamah ini. Kami mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan," kata Zaii dalam penghakiman lisannya.
Dua lagi panel hakim tersebut ialah Datuk Gopal Ram dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin.
Peneroka menamakan Felda, pengurus tanah rancangan tersebut, Ibrahim Ismail (telah meninggal dunia) dan Felda Palm Industries Sdn Bhd sebagai defenden.
Mereka diwakili oleh peguam Wan Rohimi Wan Daud dan Yusfarizal Yusoff.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan