"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keputusan satu permulaan untuk perubahan menyeluruh- Anwar


PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 merupakan satu permulaan kepada perubahan jitu dan menyeluruh buat rakyat di negeri itu.
“Walaupun tidak mengecapi keputusan yang diingini, kita berjaya menanam benih politik murni agar rakyat Sarawak meninggalkan politik perkauman sempit,  berani melawan kezaliman yang sekian lama membelenggu dan berusaha memperkukuh amalan Demokratik.
“Hakikat yang tidak dapat dinafikan sepanjang tempoh berkempen, berbekalkan sumber yang terhad serta berilitizam dengan kempen yang bersih, Pakatan Rakyat tetap berjaya menembusi kawasan pendalaman, yang sentiasa dianggap kubu kuat Barisan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut Anwar , kredibiliti dan integriti Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sekali lagi tercalar kerana wujud laporan bahawa SPR  bertindak berat sebelah terhadap penipuan ketika hari mengundi semalam.
“Saya difahamkan petugas Parti Keadilan Rakyat dinafikan borang 14 di beberapa kawasan sedangkan borang ini penting untuk memastikan keputusan pilihanraya bersih dari penipuan,” ujar Anwar yang juga Ketua Umum KEADILAN.
Selain itu katanya, terdapat juga laporan usaha membeli undi di beberapa kawasan seperti di Dudong, Bawang Assan dan Meradong.
Malah katanya, keengganan SPR untuk mengira semula undi di kawasan DUN Senadin mengukuhkan lagi dakwaan ramai bahawa Suruhanjaya Pilihanraya itu bertindak demi kepentingan Barisan Nasional.
“Calon Parti Keadilan Rakyat, Dr Michael tewas dengan majoriti yang tipis iaitu 58 undi sahaja. Mengapa enggan mengira semula tanpa memberi alasan yang munasabah?,” soal Anwar.
Sambil mengucapkan syabas dan terima kasih kepada seluruh rakyat Sarawak dan jentera Pakatan Rakyat, Anwar
menyeru kepada mereka yang cintakan perubahan supaya tidak berputus asa dan terus mara bagi memastikan rejim BN di Sarawak yang korup ditumbang pada pilihan raya akan datang.

“Keputusan ini bukanlah satu pengakhiran, bahkan yakinlah ianya satu permulaan kepada satu tuntutan perubahan yang jitu dan menyeluruh. Pastinya ini tidak dapat dicapai sekiranya rakyat Sarawak tidak bersama sama memastikan ianya terlaksana,” ujar Anwar.
Keputusan PRN Sarawak menunjukkan Pakatan Rakyat berjaya menggandakan kerusi yang ditandingi, dengan meningkatkan jumlah kerusi berbanding pilihan raya 2006.

Kali ini, DAP dan KEADILAN berjaya merampas 15 DUN, malah menumbangkan Presiden SUPP George Chan, dan mengakibatkan SUPP hanya mampu mempertahankan 6 daripada 19 kerusi yang dipertandingkan.
Undi popular BN juga merosot daripada 63 peratus pada 2006 kepada 55 peratus kali ini.
KEADILAN berjaya memenangi tiga kerusi dengan majoriti selesa iaitu di Batu Lintang, Ba’kalelan dan Krian.

Tiada ulasan: