"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bn Berada Dalam Keadaan Situasi Yang Terdesak !

Zamsha
TIDAK pernah terjadi dalam sejarah politik tanahair, Umno dan Barisan Nasional (UBAN) berada dalam posisi yang sangat terdesak seperti sekarang. Pendedahan demi pendedahan yang dibuat oleh para pemimpin Pakatan Rakyat (PR) terhadap konspirasi penuh terancang, terutama sekali manipulasi terhadap sistem daftar pemilih oleh pihak yang diamanahkan, mengundang banyak persoalan yang tidak mampu lagi dijawab.

Semakin banyak jawapan cuba diberikan, semakin menelanjangkan segala penyelewengan yang dilakukan. Dalam debat yang dianjurkan oleh sebuah akhbar tempatan, jawapan orang kanan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah diejek oleh khalayak yang semakin mual dengan penyelewengan yang cuba dilemak maniskan dengan ayat yang berbelit-belit.

Kemunculan tokoh-tokoh seperti Ambiga Sreenevasan, A.Samad Said, Marina Chin serta penyertaan Marina Mahathir dalam perhimpunan aman 9 Julai segera melakar gaya baru dalam lanskap siasah tanahair. Satu hal yang lebih menarik ialah kerisauan dan keprihatinan golongan sasterawan terhadap segala macam kebobrokan yang menjangkiti dunia politik tanahair . Selama ini golongan sasterawan sering dilabel bisu dan memilih jalan selamat. Berkecuali dalam banyak hal. Namun tindakan empat orang Sasterawan Negara iaitu Shahnon Ahmad, Muhammad Haji Salleh, Nordin Hassan dan Anwar Ridhwan mengeluarkan kenyataan bersama yang tegas menyokong perjuangan yang dirintis oleh A.Samad Said untuk menjayakan agenda 9 Julai dan meminta pihak berkuasa membebaskan enam tahanan mengikut Ordinan Darurat (EO) merupakan satu hal yang sihat untuk demokrasi.

Penglibatan tokoh-tokoh bukan partisan dalam pelbagai bidang itu membuktikan betapa situasi politik negara sekarang sedang berada dalam satu kedudukan yang membimbangkan banyak pihak. Mereka tentunya tidak akan bersuara dan bertindak jika proses demokrasi itu berjalan lancar dan sihat sifatnya. Malangnya, ketika pihak di seberang sana tidak berhenti mulut mereka mendewa-dewakan demokrasi, pada masa yang sama otak, tangan dan kaki mereka berkerjasama merencana strategi bagi membunuh demokrasi.

Hanya para pemimpin persatuan-persatuan penulis di seluruh negara yang masih lagi menikus dan membisu seolah-olah kaki mereka tidak pernah berpijak di bumi nyata. Hal ini membayangkan kepada kita betapa mereka tidak melihat segala penyelewengan yang berlaku di hadapan mata sebagai masalah buat mereka dan generasi mereka pada masa hadapan. Para peneraju persatuan penulis terus mengambil sikap berkecuali dan memilih jalan selamat kerana sebab yang hanya mereka dan kelompok mereka sahaja yang tahu.

Perlakuan sebegini sangat kontra dengan sikap dan keberanian yang mereka curahkan dalam karya-karya mereka. Seniman besar dari negara tetangga seperti Pramoedya Anantatoer dan W.B Rendra bukan sekadar garang di kertas, tetapi turut sama beraksi di pentas perjuangan.

Alasan lapuk seperti semua ahli dan parti politik adalah sama yakni untuk merebut kuasa merupakan satu tindakan pelarian yang nyata tidak bertanggungjawab. Allahyaraham Usman Awang sendiri pernah berkata golongan sasterawan harus mempunyai sikap dan tidak sewajarnya berkecuali. Sekurang-kurangnya mereka perlu memilih antara yang hak dengan yang batil.

Terbaharu kemunculan Tengku Razaleigh Hamzah menerusi wadah Amanah Merdeka (Amanah) sekali lagi mengejutkan mimpi-mimpi indah para pemimpin UBAN. Kemunculan Tengku bersama enam Timbalan Presiden iaitu tokoh-tokoh yang punya wibawa dan tidak asing lagi seperti Ong Tee Kiat, S.Subramaniam, Kadir Sheikh Fadzir, Bujang Ulis, Wilfred Bumburing dan Daniel Tajem serta barisan Naib Presiden antaranya bekas Pengerusi Majlis Peguam, Ragunathan Kesavan dan Wan Saiful Wan Jan, Pengarah IDEAS sekali lagi membuatkan para pemimpin UBAN berada dalam keadaan yang begitu cemas.

Mesej yang ingin dikongsi oleh Tengku Razaleigh dan teman-temannya menerusi ucapan beliau dalam Majlis Pelancaran Amanah sangat jelas. Tengku menyeru agar seluruh warga Malaysia memerangi rasuah, kronisme dan krisis perkauman yang sedang diamalkan secara berleluasa di negara ini. Katanya rakyat Malaysia tidak mampu lagi berpeluk tubuh terhadap segala kepincangan yang berlaku di hadapan mata. Kehadiran Amanah yang muncul selepas tarikh keramat 9 Julai bagai sengaja diatur sedemikian rupa bagi mengekalkan momentum sokongan rakyat. Rakyat dengan penuh debar menanti aksi selanjutnya dari Amanah.

Jika diteliti daripada barisan para pemimpin Amanah seperti Bujang Ulis, Wilfred Bumburing, Daniel Tajem dan Patau Rubis ia seakan memberikan satu isyarat baharu betapa negeri-negeri simpanan tetap UBAN sudah semakin dirobek-robek oleh pihak pembangkang. Adalah dijangkakan, Sabah dan Sarawak bukan lagi negeri yang bakal menyumbangkan kerusi yang banyak bagi memastikan UBAN terus berkokok di Parlimen. Isyarat tentang perkara ini sudah kelihatan jelas ketika Pilihanraya Negeri Sarawak tempohari.

Selain daripada kehadiran tokoh-tokoh dari Sabah dan Sarawak, beberapa nama besar dalam politik Malaysia seperti Ong Tee Kiat, S. Subramaniam dan tidak ketinggalan bekas Presiden Majlis Peguam, Ragunathan Kesavan diyakini dapat menarik lebih ramai kaum Cina dan India bagi bersama-sama bergerak seiringan untuk memastikan dominasi kekuasaan UBAN berakhir pada PRU ke-13 nanti.

Segala perkembangan yang berlaku semenjak akhir-akhir memperlihatkan UBAN semakin bersendirian dalam menghadapi hari-hari terakhir mereka.
-tko-

Tiada ulasan: