"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Golongan minum air mandian jenazah jahil agama, ilmu dunia

KUALA LUMPUR: “Dia bukan saja jahil agama, tapi ilmu keduniaan,” kata Pegawai Psikologi Kanan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Puncak Alam, Sulaiman Selamat, ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam berhubung tindakan segelintir individu di Terengganu dikesan mencuri dan mengambil bekas air mandian jenazah serta lebihan kain kafan kononnya untuk dijadikan ubat merawat pelbagai penyakit termasuk mengatasi masalah ketagihan dadah.

Sulaiman berkata, tiada nas dalam al-Quran menyebut mengenai perkara itu, malah dalam adat dan budaya tempatan pun tidak ada.

“Orang yang buat ini individu terdesak dan sanggup buat apa saja untuk pulih.

“Malah, saya sifatkan orang yang ingin dibantu dan membantu juga jahil ilmu agama,” katanya.

Beliau berkata, gejala negatif itu kalau dibiarkan berterusan ia boleh mempengaruhi norma-norma kehidupan.

“Benda itu (air mandian) kotor kerana bila kita mandikan mayat, kita wajib bersihkan semuanya.

“Selain itu, tiada bukti saintifik mengatakan ia dapat menyembuhkan penyakit seperti didakwa,” katanya.

Sulaiman pada masa sama memberitahu air mandian mayat perlu dialirkan dan bukan untuk digunakan semula.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang terjumpa dengan amalan baru atau pelik perlu membuat kajian terlebih dulu supaya tidak mudah terpengaruh.

“Kenapa benda ini timbul sekarang. Kenapa tak dulu kalau ia memberi kesan.

“Apa yang dikhuatirkan ia untuk kepentingan ekonomi individu tertentu saja,” katanya.

Perbuatan khurafat itu didedahkan Pengurus Pusat Urusan Jenazah Islam, di Kuala Terengganu, Mohd Ariff Tengah, 35, yang memberitahu dia menerima lebih 50 permintaan daripada waris dan individu tidak dikenalinya untuk mendapatkan bekas air mandian itu sejak terbabit pengurusan jenazah 15 tahun lalu. “Jumlah itu tidak termasuk yang datang secara sembunyi-sembunyi menadah air mandian jenazah di bawah rumah ketika proses mandi mayat. “Kata mereka, air mayat itu boleh digunakan bagi mengubati pelbagai penyakit termasuk jangkitan HIV dan ketagihan dadah. Perbuatan ini mengundang bahaya kerana air jenazah itu kotor dan mungkin mengandungi pelbagai bakteria atau kuman. “Sekiranya digunakan sebagai ubat kepada individu yang masih hidup, tentu ia boleh mendatangkan jangkitan penyakit,” katanya yang juga perunding pengurusan jenazah Yayasan Islam Terengganu.
-hmetro-

Tiada ulasan: