SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) hari ini menggesa agar siasatan dijalankan apabila wujudnya dakwaan penglibatan Umno semasa pemeriksaan Jabatan Agama Islam (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).
Ini berikutan dakwaan Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali sebelum ini mengatakan Umno berperanan dalam pemeriksaan yang dilakukan oleh Jais ke atas DUMC 3 Ogos lalu.
Mustafa mendakwa Umno memainkan peranan dalam mempolitikkan isu tersebut ekoran tindakan Jais yang sehingga kini belum mendedahkan hasil siasatan mereka ke atas DUMC.
Tambah Mustafa, beliau sedia mendedahkan maklumat campur tangan Umno kepada Pengarah Jais Marzuki Hussin.
Begitu juga ekoran pendedahan klip video kehadiran Jais ke DUMC pada hari kejadian seperti yang ditayangkan dalam beberapa blog Umno.
Sehubungan itu, DPPNS dalam memorandumnya kepada Exco Slangor Datuk Hasan Ali dan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini meminta agar tindakan serius diambil jika apa yang didakwa Mustafa sebelum ini benar.
Video klip
“Kami memandang serius mengenai hal ini dan minta supaya kerajaan negeri siasat bagaimana video klip tersebut dikeluarkan oleh penulis blog Umno.
“Kami juga minta jasa baik Mustafa supaya bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Pemuda supaya isu ini diselesaikan dengan sebaik mungkin,” kata Ketua Pemuda PAS Selangor, Hasbullah Ridzwan kepada pemberita di pejabat Dr Hasan di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua DPPNS Mohd Sany Hamzan menyifatkan tindakan penulis blog yang menyiarkan klip video rakaman Jais pada malam kejadian sebagai satu penderhakaan kepada Sultan.
Katanya, Jais dalam responnya terhadap PAS minggu lalu berkata tidak akan ada sebarang pertemuan atau penjelasan dengan mana-mana pihak seperti yang dititahkan Sultan sehingga siasatan selesai.
Namun, beliau berkata Umno mengingkari arahan tersebut malah terus menyiarkan klip video terbabit melalui blog “Screwkuat” dan beberapa blog milik penulis upahan Umno.
“Sultan sudah keluar titah jangan keluarkan apa-apa kenyataan sebab itu Dr Hasan tak mahu berjumpa dengan pihak media atau sesiapa kerana dia akur dengan titah Sultan.
“Tetapi Umno yang selama ini mempertahankan institusi Raja bertindak mengingkari arahan Sultan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan