"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

FAM layan peminat bola macam pengemis sukan

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Okt: Walaupun diasak oleh peminat sukan tanah air terutamanya penyokong bolasepak kedua-dua pasukan finalis yang merebut Piala Malaysia iaitu Terengganu dan Negeri Sembilan malam ini, FAM selaku badan induk sukan bolasepak negara tetap tidak berundur dari keputusan meletakkan harga tiket dengan harga yang tidak munasabah iaitu RM50 bagi seorang penonton.


“Harapan peminat bolasepak tanahair supaya FAM pertimbang harga tiket hancur lebur apabila langsung tidak diendahkan malah peminat dilayan seumpama pengemis sukan.

“Sukan bolasepak adalah sukan rakyat, juga sukan utama bagi anak muda,” kata Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia(SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard.

SAMM, katanya selaku kumpulan anak muda penggempur apa jua kebiadapan entiti terhadap rakyat, memberi amaran kepada FAM supaya tidak terlalu ghairah mengambil kesempatan di atas kesempitan rakyat.

Menurutnya, peminat bolasepak tersepit di antara cinta terhadap sukan bolasepak dan tekanan kewangan dari FAM.

Tambahnya, tindakan FAM meletakkan harga RM50 adalah sama sekali tidak wajar.

Harga tersebut, ujarnya adalah di luar kemampuan rakyat terbanyak dan FAM seolah-olah menafikan harga yang lebih selesa buat penonton yang selama ini banyak memberi sokongan terhadap sukan bolasepak negara, setelah banyak perbelanjaan lain seperti kos perjalanan termasuk petrol dan tol perlu dikorbankan peminat.

“Tidakkah timbul rasa kasihan FAM kepada penyokong bolasepak negara untuk mengurangkan sedikit kenaikan harga tiket berbanding harga tahun sebelumnya?” soalnya.

Tiada ulasan: