Khaulah Azwar
GOMBAK, 30 Nov: Catriona Ross (gambar) melahirkan rasa terkilan dengan sikap dan pandangan syarikat perfileman dan masyarakat terhadap artis yang sudah berubah.
“Fenomena hari ini memang amat mendukacitakan. Tidak seharusnya mereka mengenepikan artis-artis yang sudah ‘berhijrah’ menjadi mukmin yang lebih baik,” ujarnya pada Program Maal Hijrah di Masjid Kampung Nakhoda, petang semalam.
Menurutnya, semua artis yang telah ‘berhijrah’ itu harus diberikan sokongan 100 peratus.
Sebaliknya, kata beliau apa yang berlaku, pintu rezeki mereka ‘ditutup’ oleh syarikat perfileman kerana bimbang dengan perubahan artis tersebut yang akan mencemarkan nama syarikat mereka.
Baginya, pandangan negatif itu seharusnya diubah kerana apabila artis-artis telah berhijrah, semakin ramai peminat ingin mendampingi dan mengenali mereka dengan lebih dekat lagi yang sekaligus akan mengharumkan industri perfileman negara.
“Alhamdulilah apabila saya sudah berhijrah, rezeki yang Allah SWT berikan lebih baik dan kehidupan saya lebih tenang, bahkan saya dikelilingi oleh orang-orang yang beriman dan sentiasa membantu saya dalam mencari erti kehidupan sebenarnya.
“Bagi saya, rezeki dan kehidupan kita telah ditetapkan oleh Allah SWT dan kita perlu percaya apa yang telah ditetapkan-Nya.
“Semua artis yang berubah tidak perlu bimbang mengenai rezeki tersebut kerana Allah SWT sudah aturkan kehidupan hamba-Nya,” katanya.
Artis kelahiran Kelantan itu juga menggesa syarikat perfileman agar kreatif mengeluarkan filem-filem berbentuk Islamik dan ilmiah yang mengajak orang ramai membuat kebaikan bagi membendung gejala sosial.
Ini, katanya adalah bertujuan untuk membuka mata masyarakat agar memikirkan kebaikan dan keburukan sesuatu perkara sebelum melaksanakannya.
“Kita bimbang dengan penyiaran filem-filem berunsurkan negatif yang semakin berleluasa tanpa dibendung.
“Janganlah kita hanya mengaut keuntungan sebelah pihak tetapi akan datang generasi yang penentu masa depan negara dirosakkan dengan unsur-unsur negatif yang disiarkan dalam filem tersebut,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan