KLANG 28 Nov: Jika sebelum ini sambutan tahun baru hanya disambut dengan meriah pada 31 Disember setiap tahun, umat Islam kini harus berbangga dengan sambutan "Tahun Baru Islam" yang mengalami satu transformasi keraian di Selangor.
Suntikan nafas baru ini bertujuan memberi kefahaman dan pendedahan kepada golongan remaja dan belia akan pentingnya sambutan tahun baru kalendar Islam yang juga dikenali sebagai "Maal Hijrah".
Pagi semalam, satu majlis Tahun Baru Islam 1433 telah diadakan di dalam suasana meriah penuh berwarna-warni di Masjid Nurul Iman Kampung Delek di sini.
Majlis sambutan tersebut dimulakan dengan perarakan sepanjang 1.6km dari bekas tapak pasar malam Kampung Delek oleh 12 kontinjen yang mewakili pelbagai jabatan kerajaan, masjid-masjid dan sekolah-sekolah sekitar Klang.
Lebih menarik, perarakan itu turut disertai Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Dr. Halimah Ali serta Pegawai Daerah Klang, Datuk Bakhtiar Husin.
Ketika ditemubual, rata-rata penduduk merasakan sambutan seperti ini seharusnya diteruskan dan diberi pengisian yang lebih oleh umat Islam berbanding sambutan tahun baru pada 31 Disember yang mempunyai ciri-ciri kebaratan.
"Kesan kepada golongan muda dan generasi baru amat baiklah. Orang akan mengenal tahun baru Islam dengan lebih lagi.
"Tahun Baru Islam ini patutnya lebih dipopularkan lagi di kalangan rakyat Malaysia secara umumnya".
"Kita harap setiap tahun di adakan dan diperkembangkan di kawasan lain juga," kata seorang pegawai Pejabat Kesihatan Klang Nor Azam Azhar yang mengambil bahagian di dalam perarakan itu.
Bagi Khairulaizawati Khalid dari Pejabat Daerah Klang, beliau berharap program Maal Hijrah seperti ini diadakan setiap tahun bagi merapatkan lagi hubungan di antara pejabat kerajaan dan orang awam.
"Kali ini agak meriah berbanding dengan sembelum ini. Jadi diharapkan ia dapat diadakan setiap tahun supaya dapat mengumpul pejabat kerajaan dan penduduk untuk menyambut satu yang sangat bagus di dalam kalender Islam,"katanya.
Sementara itu, Dr Halimah yang menjadi pencetus kepada program pagi itu berkata umat Islam seharusnya mempunyai jati diri yang teguh dari segi fizikal, mental dan rohani bagi menjamin kekuatan iman dalam menghadapi cabaran hari ini.
"Kita harus pastikan masjid yang ada bersifat magnetic iaitu mampu menarik minat masyarakat untuk ke masjid terutama golongan muda, " ujarnya.
Beliau juga mensasarkan satu penjenamaan semula terhadap sambutan tahun baru bagi masyarakat Islam yang sebelum ini lebih cenderung menyambut tahun baru pada 31 Disember.
Acara itu diakhiri dengan Anugerah Maal Hijrah dan hadiah saguhati kepada peserta perarakan.
Setiap tokoh menerima RM1,000 dan setiap kontinjen yang memenangi kategori yang dipertandingkan diberi wang tunai, trofi dan sijil penghargaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan