"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ibu mati dikelar anak lelaki dalam rumah

Seorang ibu berusia 75 tahun mati selepas lehernya dikelar dengan pisau oleh anak lelakinya yang dipercayai mengidap penyakit mental di rumah mereka di Taman Bukit Serdang, dekat Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abdul Razak Elias berkata dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi tadi, warga emas itu (nama enggan diberi polis) mati di tempat kejadian manakala anaknya berusia 35 tahun itu pula cedera parah di leher akibat cubaan untuk menyembelih dirinya sendiri.

"Kejadian disedari seorang anak perempuan mangsa yang kebetulan datang ke rumah itu dan menemui ibunya terbaring di tilamnya di ruang tamu rumah tiga tingkat itu.

"Suspek pula sempat menyambut kakaknya yang hadir itu sebelum terjatuh akibat pendarahan di leher. Kakak suspek kemudian segera membawanya ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan lanjut dan kami difahamkan suspek kini tenat," katanya di tempat kejadian.

Beliau berkata tiada kesan pergelutan di rumah itu dan pihak forensik menemui pisau dengan kesan darah, yang dipercaya digunakan suspek, di atas meja kopi di ruang tamu rumah.

Abdul Razak berkata polis percaya mangsa dikelar sekali sebelum suspek cuba menyembelih dirinya sendiri lebih dari satu percubaan.

Menurutnya mangsa, yang sakit tua, dijaga suspek yang merupakan anak keenam dari lapan beradik.

"Kami juga diberitahu bahawa suspek sudah lama mengidap penyakit mental dan pernah cuba membunuh diri sendiri dua bulan lepas dengan kelar tangannya," katanya.

Beliau berkata mayat warga emas itu dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: