Nasruddin Hassan
1. Seawal pagi tadi, sebelum saya berkesempatan solat subuh berjamaah dengan Al Fadhil Ustaz Nik Mohd Abduh, Al Fadhil Ustaz Syed Abdul Kadir al Joofre dan Ir Hj. Khairil Nizam di pejabat kami, saya sempat menonton penuh minat perlawanan bolasepak El Clasico antara Real Madrid dan Barcelona yang sememangnya menjadi 2 pasukan favourite saya sejak saya masih dibangku sekolah lagi.
2. Perlawanan ini sangat menarik bermula dengan gegak gempita Stadium Santigao Bernabeu seawal 21 saat perlawanan berlangsung oleh jaringan Karim Benzema yang juga merupakan pemain antarabangsa dari Perancis. Tentu sahaja penyokong Real Madrid yang memenuhi Stadium di laman sendiri melimpah melampaui garis 50 ribu penyokong tegar.
3. Namun kewibawaan pasukan seperti Barcelona yang sering mengungguli pentas perlawanan antarabangsa nyata tidak tergugat dengan sorakan dan sokongan puluhan ribu penyokong Real Madrid apabila Barcelona berjaya menyamakan kedudukan melalui jaringan bergaya Alexis Sanchez pada minit ke-30.
4. Sungguhpun demikian, Real Madrid juga bukanlah sebarang pasukan malah mereka sedang mengungguli La Liga. Pasukan mereka turut dibarisi pemain yang memiliki karisma tersendiri. Namun kesilapan yang tidak disengajakan oleh seorang pemain Real Madrid Marcelo, membentuk defleksi yang menghasilkan jaringan kedua Barcelona pada minit ke 52 menewaskan Iker Casillas ekoran tendangan jarak jauh oleh Xavi Hernandez.
5. Saya lihat, Real Madrid mula kehilangan rentak dan sentuhan classic mereka apabila ketinggalan 2-1sedang mereka beraksi dilaman sendiri dan ianya jelas ketara apabila sering membuat hantaran - hantaran yang tidak tepat serta kegagalan membuat penyudah yang tajam dan tepat ke pintu gol. Akibatnya gawang mereka bolos lagi pada minit ke 65 tatkala umpan silang Daniel Alves berjaya ditanduk bijak oleh Fabregas dan membawa kemenangan bergaya Skuad Barcelona di gelanggang lawan.
6. Nota subuh saya pagi ini buat semua sahabat dan rakan - rakan seperjuangan, suka saya kongsikan beberapa pengajaran atau iktibar dari perlawanan El Clasico ini kerana saya sifatkan pertandingan di liga pilihanraya umum ke 13 kelak turut melibatkan perlawanan classic antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.
7. Menjelang perlawanan antara Real Madrid dan Barcelona di awal pagi tadi jelas menunjukkan Real Madrid agak over confident untuk memenangi perlawanan berasaskan reputasi mereka yang mendahului liga dan bertanding pula di laman sendiri. Lebih ketara sifat itu terserlah apabila mereka berjaya mencecah jaring Barcelona seawal detik perlawanan. Akhirnya sifat over confident ini telah menjerat diri mereka. Mereka tewas dengan 1- 3 di tangan Barcelona. Justeru itu, kita tidak boleh mewarisi sifat over confident dalam perjuangan ini sungguhpun kita mempunyai beberapa kelebihan semasa.
8. Perkara kedua yang ingin saya tekankan di sini ialah penyokong yang ramai tidak menjamin kita mencapai kemenangan. Kita jangan sekali - kali teruja dengan jumlah penyokong. Apa yang penting kepada kita untuk memenangi liga pilihanraya umum ke 13 ini ialah penglibatan dan dokongan yang berstamina, kehebatan skil serta bijak teknikal dan kaya taktikal. Jangan hanya menjadi penyokong di luar gelanggang kerana ia tidak menjamin kemenangan. Sebaliknya turun bergelanggang, harungi susah sukar mengerah tenaga memburu kemenangan.
9. Jangan banyak bercakap apalagi bercakap besar menonjolkan keangkuhan dengan kelebihan yang dimiliki. Sebaliknya banyakkan kerja dan fokus kepada tugas. Bentuk kesepaduan dan kerja berpasukan yang mantap melalui persefahaman yang baik. Stamina yang tinggi untuk membuat larian tanpa henti dengan tidak memiliki persefahaman yang baik akan menyebabkan team kita kucar kacir dan sering membuat hantaran yang tidak tepat lalu kita gagal pula membuat penyudah yang berkesan.
10. Minimakan kesilapan - kesilapan yang boleh merugikan perjuangan. Jangan sekali - kali menjaringkan gol sendiri walaupun ianya boleh sahaja berlaku di luar kawal, tetapi kita wajar berhati - hati terutama menghampiri area kotak penalti sebagaimana kita juga wajar berhati - hati menjelang tempoh pilihanraya.
Akhirnya, sungguhpun kita pernah tewas, jangan putus asa sebaliknya terus bangkit dan berjuang. Insyaallah kita masih berpeluang untuk mencapai kemenangan. Lihat sahaja Barcelona pagi tadi, biarpun ketinggalan satu gol, tetapi bingkas berjuang dan akhirnya memenangi perlawanan tersebut dengan jaya dan gayanya.
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
1 ulasan:
Cayalah Nasrudin Hassan, analisa anta mengalahkan pundit pundit di sport centre astro tuu!!
Suatu Peringatan yg Baik dan Bernas!! dari Bolasepak.
Barcelona kontrol bola, main passing, bukan kemut bola. Ini pun patut jadi perhatian. Messi x sore dalam game itu tapi dia tunggak utama dalam set pieces. Apa makna tu?...Fikir fikir lah bersama.
Catat Ulasan