Masdar Wahid
BEAUFORT, 14 Ogos: Barisan Nasional (BN) Sabah bakal menghadapi situasi lebih getir selepas sambutan Aidilfitri berikutan tiga lagi wakil rakyatnya akan meninggalkan parti itu.
Ahli Parlimen BN Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin menegaskan, mereka akan berbuat demikian secara berperingkat-peringkat dalam beberapa bulan lagi.
“Ini (keluar parti) bukan spekulasi atau desas-desus tetapi sesuatu yang benar. Bagaimanapun kita tidak akan dedahkan secara terperinci identiti mereka.
“Mereka akan umum keluar parti dan sokong Pakatan secara berperingkat-peringkat selepas sambutan Aidilfitri sehingga Parlimen dibubar,” katanya kepada Keadilan Daily.
Kata Lajim, seramai 18 daripada 35 Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Umno Beaufort turut menuruti langkahnya meletak jawatan dan mempromosi Pakatan Perubahan Sabah (PPS) yang menyokong Pakatan.
“Beberapa lagi Ketua Cawangan Umno Sabah, bekas wakil rakyat dan pemimpin yang pernah menjadi menteri juga akan keluar parti .
“Pengumuman itu akan dilakukan pada masa sesuai,” katanya.
Lajim sebelum ini mengisytihar keluar BN, malah meletak jawatan sebagai Ketua Cawangan Umno Kerambai Kebatu, Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Pengerusi Umno BN Beaufort dan menubuhkan PPS yang menyokong Pakatan.
Pada 30 Julai lalu, Lajim digugur dari jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala keahliannya dalam Umno akan ditentukan kemudian.
Selain beliau, Ahli Parlimen BN-Tuaran, Wilfred Bumburing turut keluar BN dan menubuhkan Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang menyokong Pakatan.
Ini menjadikan gerakan menukar kerajaan negeri digerakkan dua komuniti terbesar di Sabah iaitu Melayu-Islam melalui PPS dan Kadazan-Dusun-Murut melalui APS.
1 ulasan:
3 orang MP yang bercadang bakar jambatan dan melompat kePR - kalau benar lah apa yang DS Lajim cakap - memang tidak ada prinsip politik dan harga diri pun. Masih runding harga dan main tarik tali agaknya. Kalau memang ada prinsip dalam perjuangan kenapa tidak lompat sekarang? apa nak tunggu lepas raya baru nak berbuat demikian - itu pun secara berperingkat? Rasanya ini bukan satu tektik politik yang menguntungkan PR. 3 orang MP ini 'rasanya' UMNO sudah tahu. Jangankan orang, riak ikan diair pun sudah tahu jantan betina (hewah..berperibahasa pula aku..maaf ya Kerengga). Rasanya tidak menimbulkan kegetiran pun hal ini malah kelegaan..tidak ada kesan..UMNO Sabah tidak akan tercalar!.
Catat Ulasan