Darwin: Seekor buaya separuh albino yang diberi nama Michael Jackson ditembak mati selepas ia dilapor membaham seorang nelayan di utara Australia.
Pihak berkuasa dipanggil selepas lelaki berusia 57 tahun itu hilang setelah jatuh di Sungai Adelaide yang penuh dengan buaya, untuk membetulkan tali pancingnya lewat kelmarin.
Polis berkata, isteri mangsa berada bersama-samanya di tebing sungai tetapi tidak ternampak haiwan itu, dipercayai sepanjang 4.5 meter membaham suaminya.
“Menurut laporan awal, wanita itu tidak melihat suaminya ketika dibaham tetapi mendengar jeritan dan melihat sesuatu jatuh ke dalam air. Wanita itu sungguh cemas,” kata superintendan Wilayah Utara, Jo Foley.
Polis kemudian menemui satu mayat, dipercayai nelayan berkenaan, tidak jauh dari tempat kejadian.
Tempat itu, kira-kira 60 kilometer dari Darwin, terletak berhampiran destinasi pelancongan popular. Pelancong yang melawat kawasan itu akan dibawa dengan bot untuk melihat buaya melompat keluar dari sungai untuk memakan makanan yang digantung pada tiang.
BUAYA separuh albino yang didakwa membaham seorang nelayan hingga mati.
Ia sungai yang sama tempat reptilia gergasi, Brutus, dirakam berlumba dengan seekor jerung jantan, awal bulan ini. Perlumbaan itu dimenangi buaya berkenaan.
“Jika buaya itu adalah Michael Jackson, ia amat menyedihkan. Ia buaya unik kerana separuh albino,” kata pemandu pelancong, Tony Blums. Menurutnya, terdapat kira-kira seekor buaya setiap 100 meter sungai itu dan Michael Jackson mungkin berada di kawasan itu sebelum dia membaham mangsa. - AFP/hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan