"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siapa yang mulakan krisis Selangor?

Nathaniel Tan
Saya mempunyai satu soalan yang mudah. Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng masih memuji Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini, adakah anda fikir orang ramai akan mempunyai keraguan tentang integriti menteri besar ini?

Soalan ini membuatkan saya berfikir tentang sama ada kita membentuk pendapat kita secara bebas, atau sama ada kita membentuknya dengan tujuan mewajarkan kedudukan bos, wira atau orang yang kita kebetulan gemari.

Tidak dinafikan ada yang akan rasa saya jatuh ke dalam kategori kedua, dan itu adalah nyata hak mereka.
Bagaimanapun perasaan saya adalah Pakatan Rakyat menyedari adanya kerosakan yang serius berikutan krisis Selangor, dan mengambil jalan yang lebih mudah dengan memesongkan sasaran ke arah seorang yang menjadi sasaran kempen memburuk-burukkan besar-besaran – mungkin juga kerana beliau bukan jenis yang melawan.

Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming adalah seorang kenalan lama dan seorang yang bijaksana. Pada hari Isnin, beliau menulis sebuah artikel dalam The Star yang bertanyakan kepada Khalid: Adakah ianya berbaloi?

Saya rasa adalah berbaloi buat Khalid untuk berpegang kepada prinsip-prinsip beliau. Kita akan meneroka sebabnya di dalam rencana ini.

Perenggan ketiga rencana Ong menanyakan beberapa soalan marah, pada dasarnya membayangkan bahawa Khalid merupakan punca keseluruhan krisis ini. Kesimpulan soalan-soalan ini: Berbaloikah untuk hampir memecahbelahkan Pakatan?

Saya dapati ini sedikit lucu, memandangkan saya pada dasarnya bertanya soalan yang sama terhadap Anwar. Dalam penilaian saya yang tidak seberapa, Anwar yang sanggup mengorbankan Pakatan untuk menjadikan isterinya Menteri Besar Selangor.

Sama ada Anwar berhak atau tidak untuk meneruskan jalan ini, saya kira bergantung kepada sama ada anda berfikir yang Khalid adalah korup ataupun tidak.

Seperti yang saya telah tulis sebelum ini panjang lebar, terdapat dua kemungkinan. Sama ada Anwar mencipta kempen untuk menjatuhkan Khalid kerana kontroversi berkaitan Khalid, atau Anwar mencipta kontroversi berkenaan Khalid kerana beliau mahu menjatuhkan Khalid, dan menggantikannya dengan Menteri Besar yang lebih menurut perintah.

Ong menunjuk kepada dua kes secara khususnya: perjanjian air, dan kes Bank Islam. Saya telah menulis mengenai kes-kes ini dan banyak lagi, dan cuba yang terbaik untuk tidak menjadi radio buruk, tetapi bagi menghormati artikelnya, saya akan merumuskan beberapa perkara.

Khalid percaya bahawa ada nilai yang adil untuk mengambil alih syarikat konsesi air di Selangor. Anwar dan Rafizi Ramli seolah-olah bersimpati dengan penyokong lama mereka, Wan Azmi Wan Hamzah dan pandangannya bahawa syarikat konsesi air beliau, SPLASH memiliki nilai 10 kali ganda lebih tinggi dari apa yang Khalid percaya.

Saya telah berkata bahawa jika Anwar boleh berjanji bahawa MB baru Selangor tidak akan membayar lebih dari RM250 juta untuk membeli SPLASH, ini akan membuktikan bahawa motivasi mereka untuk menggantikan Khalid adalah optimis.

Sudah tentu, baik Anwar mahupun mana-mana penyokong beliau tidak dapat berjanji sebegini, atau menjawab apa-apa soalan sekitar isu ini. Semua orang dengan sengaja tidak menghiraukannya

Saya percaya Khalid merasa bertanggungjawab kepada rakyat Selangor. Kewajipan itu termasuk menghalang kroni dari menjarah wang negeri. Untuk menetapkan harga pembelian yang adil bagi syarikat konsesi air, Khalid menandatangani perjanjian dengan kerajaan persekutuan.

Jika sesiapa sahaja boleh membuktikan secara meyakinkan bahawa Khalid telah mendapat faedah peribadi yang tidak beretika daripada perjanjian ini, saya akan menjadi orang pertama yang berhenti menyokong Khalid.

Strategi mereka menuduh Khalid rasuah adalah serupa dengan seseorang menuduh saya dengan berkata: "Awak telah berlaku curang kepada teman wanita anda! Kini buktikan bahawa anda tidak melakukannya!"

Bagaimana saya boleh buktikan bahawa saya tidak curang? Bukankah penuduh yang bertanggungjawab untuk membuktikan tuduhan ini? Adakah saya perlu menyediakan butiran mengenai setiap pergerakan harian dalam hidup saya, untuk membuktikan yang dakwaan tersebut tidak benar?

Prinsip yang sama terpakai dalam kes Bank Islam. Pengkritik Khalid mengabaikan keperluan untuk mengemukakan bukti kukuh, dan bergantung kepada tanggapan bahawa jika anda memalit lumpur dengan mencukupi, sesetengah orang akan percaya bahawa sebahagian daripadanya akan melekat.

Ong menulis bahawa beliau merasakan sebegini dan perjanjian air merupakan sebab yang cukup untuk mempersoalkan kesetiaan TSKI.

Sudah tentu kita semua bebas untuk mempersoalkan kesetiaan satu sama lain. Bagaimanapun perhatikan, perbezaan antara mempersoalkan kesetiaan dan merelakan sikap tidak acuh PKR terhadap prinsip keadilan asasi, dan tindakan mereka menjadi hakim, juri dan algojo.

Sebab-sebab untuk memecat Khalid kerap berubah-ubah, dan sering kali tidak masuk akal. Hakikat bahawa penyelesaian Bank Islam hanya dimuktamadkan pada bulan Julai 2014, bukannya Feb 2014 tidak membantu kes Ong atau meningkatkan keyakinan terhadap pembacaannya terhadap dokumen-dokumen undang-undang itu.

Bagaimanapun kita semua menyedari bahawa Serampang Kajang dilancarkan pada Januari 2014, dan sebelum pemuktamadan perjanjian air atau penyelesaian kes Bank Islam.

Jadi sekali lagi, adakah Anwar membuat promosi untuk menjatuhkan Khalid kerana kontroversi berkaitan Khalid, atau adakah Anwar dan gengnya mencipta kontroversi terhadap Khalid kerana beliau mahu menjatuhkan Khalid?

Kisah ini nampaknya akan berakhir, dan peranan Khalid dalam apa yang akan berlaku semakin kecil. Saya dahulunya dengan naif berharap Pakatan akan memberi tumpuan kepada masa depan dan masalah dalaman mereka sendiri, tetapi ia seolah-olah lebih mudah bagi mereka menjadikan Khalid kambing hitam untuk semua krisis mereka.

Masa akan menentukan siapa yang betul. Selepas penggal beliau sebagai MB berakhir, kita akan mempunyai banyak masa untuk membuat penilaian penuh kerja Khalid, yang baik dan yang buruk.

Dalam pada itu, sehingga tuduhan terhadap beliau dapat menjadi lebih daripada percubaan lemah memanipulasi keterangan mengikut keadaan, Serampang Kajang mungkin tiada kaitan dengan Khalid, dan segala-galanya dilakukan untuk membuat dana Selangor mengalir dengan lebih bebas.

Adakah berbaloi bagi Khalid untuk mengambil pendirian beliau itu? Saya hanya boleh menjawab untuk diri sendiri, dan jawapan saya adalah ya. Ia adalah berbaloi kerana satu hari nanti, Malaysia akan dapat menunjukkan sekurang-kurangnya seorang lelaki dan berkata: ada seorang negarawan yang melakukan tindakan yang benar, dan bukannya apa yang mudah.

NATHANIEL TAN gembira kerana sudah melihat cahaya di penghujung jalan. Beliau menulis tweet di @NatAsasi.

1 ulasan:

Arib Mansura berkata...

Hanya cerita ....terbogel tampa sendiri sedari...