"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS Kekal Dalam Pakatan Rakyat : Berakhirkah Krisis Politik Selangor ?

Mohammad Agus Yusoff
PAS telah membuat keputusan menyokong dua ADUN dari PKR menjadi MB Selangor dan kekal dalam PR. Akan tenangkan politik Selangor dengan keputusan PAS ini? Harapnya tenanglah. Sudah berminggu rakyat gelisah suasana ini. Untuk tenang, maka tiga pilihan yang ada.

Pertama, secara berprinsip MB sekarang meletakkan jawatan. Kedua, PR bolehlah memulakan langkah seterusnya untuk mengadakan undi tidak percaya di lantai Dewan atau membuktikan dakwaan mereka kepada Tuanku Sultan bahawa mereka telah mempunyai majoriti.

Ketiga, BN turut mengakui bahawa PR mempunyai sokongan majoriti dan membiarkan PR membentuk kerajaannya lagi.
Persoalannya, apakah semudah itu?

Pastinya tidak semudah itu kerana ia banyak bergantung kepada tindakan MB sekarang seterusnya. Beliau masih mempunyai pilihan untuk menasihati Sultan bagi membubarkan Dewan. Beliau masih boleh ke mahkamah untuk mendapat keputusan autoritatif tentang kesahihan pemecatannya dalam PKR dan juga kesahihan penggugurannya sebagai MB.

Saya harap MB sekarang ini tidak mengambil tindakan sejauh itu, biarpun mempunyai hak politik berbuat demikian.

Apakah Kesan Keputusan PAS untuk Kekal dalam PR?

Saya fikir ramai yang lega dan berpuas hati dengan keputusan PAS hari ini. Tahniah PAS kerana masih memahami aspirasi penyokong PR. Tahniah PAS kerana masih memahami struktur politik Malaysia yang majmuk masyarakatnya.

Cuma, mengapa begitu lambat membuat keputusan ini? Saya tahu jawapannya ialah untuk mengajar DSAI dan PKR yang membuat Langkah Kajang dan menamakan MB baru tanpa perundingan. Yang saya tidak faham ialah mengapa membiarkan rakyat gelisah berminggu lamanya.

Selepas ini Apa Pengajarannya?

Apapun keputusan hari ini, kedudukan PKR dan PAS tercalar. PAS merupakan parti yang mempunyai akar umbi yang kuat, tetapi lambat memahami real politik negara. PKR parti yang perasan kuat, tetapi sebenarnya tidak mempunyai jentera kerja pun di peringkat bawah.

Oleh itu, semoganya selepas ini DSAI dan PKR dapat belajar erti semangat kerjasama dalam sebuah permuafakatan. Jangan jadikan PR itu sebagai sebuah syarikat sendirian berhad. Bezakan urusan PKR dengan urusan PR.

PAS pula perlulah belajar untuk menjadi lebih cekap dan cepat dalam membuat keputusan. Jika tidak berpuas hati, panggil mesyuarat dan buat keputusan, sama ada itu mesyuarat PAS atau mesyuarat PR. Itulah sebenarnya sikap berpolitik.

UMNO dan BN saya lihat agak tenang, tetapi turut gelisah dalam menunggu keputusan PAS. Pun begitu, mereka tidak gelojoh. Mereka tidak menuntut pilihan raya baru diadakan. Mereka tenang menunggu di luar gelanggang menanti peluang yang ada.

DAP juga tenang menunggu peluang untuk menanti apa reaksi UMNO dan BN. Begitulah!

***************************************************************************

Dua minggu lagi kita menyambut hari merdeka. Mari kita semua menyambutnya dengan semangat patriotisme yang tinggi untuk negara kita ini, biarpun dari segi pandangan politiknya, kita akan terus berbeza.

Semoganya dengan jiwa merdeka kita yang tinggi, politik Selangor kembali tenang.

1 ulasan:

Unknown berkata...

bukan lambat bro..kena ada perbincangan dalaman dulu..bukan mudah ambik keputusan macam nak beli nasi lemak dekat warung atau macam nak beli gula-gula ubat batuk.Bro kalau nak parking kereta pun kena tinjau-tinjau dulu.Pakai hentam ke?