"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nak minta seringgit pun susah dari Khalid Ibrahim - Exco PAS

Exco Selangor dari PAS mendedahkan pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim sepanjang enam tahun ini hanya dibelenggu satu masalah, iaitu susah memberi wang untuk program negeri.
Bagaimanapun Dr Halimah Ali menjelaskan itu menunjukkan Khalid seorang yang amat berhati-hati dalam membuat keputusan agar dapat memberi manfaat kepada rakyat.

"Saya hanya ada satu masalah besar dengan beliau. Nak minta duit susah," kata beliau sambil ketawa kecil ketika ditanya wartawan di pejabatnya hari ini.

Halimah menjelaskan seorang Exco perlu membentangkan pelan terperinci kepada Khalid dan memberikan hujah agar wang negeri yang diperuntukkan dapat membantu rakyat.

"Kalau tak ada hujah baik nak minta seringgit pun susah.

"Jika anda ada plan yang boleh berjalan dan baik kepada rakyat, perlulah berhujah (dengan beliau)," kata beliau.

Khalid dipecat dari PKR dua minggu lalu kerana ingkar arahan parti untuk meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

PKR dan DAP kemudiannya mendedahkan keburukan dan masalah yang dihadapi Pakatan Rakyat dalam pentadbiran Khalid.

Halimah bagaimanapun menolak dakwaan bahawa Khalid sering bertindak seorang tanpa memikirkan rakyat atau kerajaan negeri.

Beliau berkata Exco diberitahu dalam hampir semua keputusan beliau termasuk dalam hal pengambilalihan industri air.

"RM9 pun susah beliau hendak buat keputusan dan luluskan, inikan pula RM9.6 billion, jadi jika keputusan itu diambil Menteri Besar, bermakna ia semestinya adalah yang terbaik buat rakyat Selangor".

"Beliau (Menteri Besar) seorang ahli perniagaan sebelum ini, jadi adakalanya beberapa tindakan terpaksa diambil dengan segera, namun setiap tindakan beliau sememangnya ada dimaklumkan dan banyak perkara turut dibincangkan dengan setiap ahli Exco" kata beliau.

Halimah bagaimanapun tidak mahu mengulas keputusan pemecatan dan penggantian Khalid oleh PKR yang dianggap beliau sebagai "keputusan politik".

Beliau bagaimanapun menegaskan beliau menurut keputusan parti dan akan terus bertugas memastikan pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor kekal.

"Daripada pengalaman saya bersama beliau (Khalid) sejak enam tahun lalu, apa yang dia buat (adalah) untuk rakyat. Itu cara beliau berfikir.

"Saya tak tahu itu keputusan politik parti. Saya bukan di sini untuk 'judge' mereka (PKR)," kata beliau.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: