"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahmad Awang: Tak perlu parti Islam baru

Tokoh ulama PAS, Ahmad Awang menolak penubuhan parti baru yang mungkin akan ditubuhkan oleh NGO Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa).

Beliau berkata demikian selepas ditanya pemberita mengenai rancangan PasMa berkemungkinan akan menubuhkan parti Islam Jun ini.

“Bagi saya, saya tak nak ada parti Islam yang baru sebab yang dah ada sekarang ini pun bukan mudah, untuk jadi (PAS) macam sekarang,” kata bekas naib presiden parti Islam itu.

Membandingkan dengan Indonesia, Ahmad berkata walaupun negara itu lebih besar politiknya kini menjurus ke arah pengurangan parti.

Ahmad berkata demikian selepas diskusi “Mempersada PAS di pentas perjuangan” di Kuala Lumpur malam tadi.

Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Zawawi dalam konvensyen NGO itu semalam berkata pendirian mereka sama ada membentuk parti politik atau tidak akan dibuat selepas berakhirnya muktamar PAS Jun depan.

Ahmad bagaimanapun berkata PasMa seharusnya mengekalkan tanggungjawabnya sebagai NGO seperti sekarang ini untuk membantu Pakatan Rakyat.

Beliau turut memuji usaha PasMamengerahkan 1,000 sukarelawan di Permatang Pauh untuk membantu kempen pilihan raya kecil (PRK) sebagai sesuatu yang bagus.

“Jadi kalau dia parti politik yang baru, dia dilihat sebagai serpihan. Serpihan yang tumbuh bermula dari tidak puas hati dengan parti pimpinan yang ada berapa lama dia nak kuat.

“Kalau dia buat parti pun, dasarnya mesti macam PAS sahaja, jadi elok jadi NGO,” katanya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: