ZULKIFLI SULONG
Pengkaji politik Universiti Malaya Profesor Datuk Dr Redzuan Othman berkata sebarang harapan untuk rekonsiliasi antara puak progresif dan ulama PAS sudah terpadam. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 Julai, 2015.
Selepas sebulan berlalu muktamar tahunan PAS yang penuh pecah belah, harapan untuk penyatuan semula atau rekonsilisasi antara puak progresif dan ulama sudah terpadam, bahkan sudah menjadi perumpamaan 'berpatah arang, berkerat rotan'.
Bukan sahaja pihak yang kalah, malah pihak yang menang juga, masing-masing kini membawa diri mengikut jalan sendiri.
"Dahulu ketika mula-mula perpecahan berlaku, saya menjangkakan rekonsilisasi boleh berlaku antara yang menang dan yang kalah tetapi ia tidak begitu.
"Masing-masing sudah mengambil jalan masing-masing," kata pengkaji politik dari Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Redzuan Othman.
Menurut bekas pengarah Pusat Kajian Politik dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) itu, sikap pihak yang menang dalam PAS sudah tidak menampakkan usaha untuk membawa pihak yang tewas pulang semula, kerana mereka dianggap 'sudah mati'.
Ekoran itu, katanya, pihak yang kalah tidak ada jalan lain melainkan menubuhkan parti baru sebagai satu pilihan terbaik berbanding beberapa pilihan lain, termasuk menyertai parti yang ada dalam Pakatan Rakyat (PR) seperti PKR dan DAP.
"Mereka dianggap sudah mati oleh PAS. Takkan mereka (yang terpinggir) nak jaga cucu sahaja selepas ini," kata beliau merujuk kepada sikap pimpinan baharu PAS terhadap bekas pimpinan yang tewas.
Pada pemilihan parti awal Jun lalu, golongan ulama menyapu bersih semua jawatan dalam jawatankuasa PAS Pusat, menumpaskan semua calon dari puak progresif, dengan memenangi 22 daripada 23 jawatan yang dipertandingkan.
Susulan itu, kumpulan yang tewas bersatu membentuk kumpulan yang kini dikenali sebagai G18 dan pemimpinnya menonjolkan diri sebagai mempunyai hubungan yang baik dengan DAP dan PKR.
Bagaimanapun, mulai semalam, kumpulan itu berkata ia kini mahu dikenali sebagai “Gerakan Harapan Baru”.
Sementara itu, salah seorang pelopor gerakan itu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, kedua-dua pihak kini sudah pergi terlalu jauh untuk berpatah balik kembali.
"Mereka terlalu sombong dan angkuh. Keadaan sekarang umpama berpatah arang berkerat rotan. Hanya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti sahaja yang akan menyedarkan mereka," kata bekas timbalan pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat itu.
Wan Rahim meramalkan, berdasarkan simulasi yang dibuat pihaknya, jika 10% sahaja sokongan lari dari parti itu, PAS akan kalah teruk, termasuk kehilangan kerajaan negeri Kelantan dalam PRU14 kelak.
Wan Rahim yang memimpin PAS kawasan Kota Baru sejak sekian lama juga meramalkan, nasib parti baharu yang bakal dibentuk mereka juga tidak sebaik mana selepas berpisah dari PAS, namun mereka mempunyai kelebihan berbanding parti lama mereka.
"Kelebihan kita adalah bersama dengan rakan lain dalam Pakatan Rakyat 2.0 yang sedang dibentuk. Jadi, saling tumpang menumpang ini memberikan kelebihan kepada kita, terutama di pantai barat," katanya.
Harapan terbesar parti baru ini terletak pada kerusi campuran yang sebelum ini ditandingi PAS.
"Kerusi yang mempunyai komposisi Melayu tidak sampai 50% adalah tunggak utama kita untuk menang, di samping kerusi yang mempunyai komposisi bukan Melayu yang melebihi 20%," katanya.
-malaysianinsider-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan