"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tak Pecat, Najib Sensara...Pecat Pula, Lima Negeri Bahaya!!

SHAHBUDIN HUSIN
SEMUA perhatian kini tertumpu kepada mesyuarat MT Umno esok, 9 September untuk mengetahui sama ada Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin dan beberapa pemimpinnya yang lain yang agak kritikal terhadap Najib Razak akan dikenakan tindakan atau sebaliknya.

Mereka yang lain yang mungkin berdepan hukuman selain Muhyiddin, ialah Naib Presiden Umno, Shafie Apdal, Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Mukhriz Mahathir,  Ahli MT Aziz Sheikh Fadzir, bekas Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said, bekas Exco Perak, Hamidah Osman dan Ahli Parlimen Sepanggar, Jumat Idris.

Mereka ini diketahui kerap mengkritik Najib, terutama berkaitan isu 1MDB dan wang RM2,600 juta yang mengalir masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Banyak pihak meramalkan ketujuh-tujuh mereka ini bakal berdepan hukuman pecat, gantung keahlian atau diberikan amaran keras.

Bagaimanapun, Muhyiddin dan Shafie paling mungkin sekali menerima hukuman sama ada pecat atau gantung keahlian berikutan kelantangan mereka mengkritik Najib. Kedua-duanya juga sudah digugurkan daripada kabinet pada 28 Julai lalu.

Mukhriz pula, selain berdepan salah satu hukuman tersebut, kedudukannya sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kedah  dan Menteri Besar juga diramalkan akan digugurkan, bukan saja sebagai hukuman kerana kelantangannya mengkritik Najib, tetapi juga sebagai pantulan daripada tindakan bapanya, Tun Mahathir Mohamad yang tidak henti-henti mengasak Perdana Menteri hingga ke dinding.

Begitu pun dengan Aziz, Ahmad Said dan Hamidah,  hukuman yang menanti ialah sama ada pecat, digantung jawatan atau sekadar diberikan amaran keras saja.

Jumat pula sudah pun digantung kedudukannya sebagai Ketua Umno Bahagian Sepanggar, Sabah beberapa bulan yang lalu dan dikhabarkan akan dipecat terus kali ini.

Bagaimanapun, beberapa jam sebelum mesyuarat MT yang dijangka berlangsung pada pukul 2.30 petang di PWTC, Tun Mahathir pula dijadualkan kembali daripada lawatannya ke luar negara pada jam 12.30 tengahari di Lapangan Terbang di Subang.

Sejak beberapa hari lalu, hebahan mengenai kepulangan bekas Perdana Menteri itu telah disebarkan secara meluas melalui SMS, Whatsapp, FB, Email dan sebagainya bagi tujuan menarik seramai mungkin orangramai menyambutnya.

Berdasarkan respon dan maklumat rambang daripada pelbagai pihak, dijangka ribuan orangramai daripada pelbagai latarbelakang ideologi politik akan menyambut kepulangan Tun Mahathir esok  berikutan suhu panas politik semasa dan kepulangannya pula hanya beberapa jam sebelum mesyuarat MT berlangsung.

Tidak memeranjatkan jika Tun Mahathir menggunakan peluang terakhir sebelum mesyuarat MT ini untuk terus melakulan "tembakan dan serangan"  bagi meningkatkan tekanannya terhadap Najib, setelah memeranjatkan banyak pihak dengan sedia turun ke himpunan Bersih 4 sebanyak dua kali baru-baru ini.

Apakah Najib tetap dengan pendirian untuk memecat dan menyingkirkan mereka yang tidak sehaluan dengannya jika ada peluru baru ditujukan kepadanya oleh Tun Mahathir esok?

Mampukah Tun Mahathir melalui serangan akhirnya nanti menghalang Najib dan MT daripada bertindak kepada Muhyiddin dan enam pemimpin lain itu?

Di sebalik hujan dan jerebu, tetap ada yang akan terasa kepanasan menjelang esok.
Bagaimanapun, rata-rata dalam Umno bimbang sekiranya keputusan MT esok membawa akibat dan kesan lebih buruk kepada parti pada masa hadapan.

Ramai yang sedar, jika tiada sebarang tindakan diambil kepada Muhyiddin dan yang lainnya,  ia akan menyebabkan kesengsaraan kepada Najib dalam memperkukuhkan parti kerana Timbalan Presiden Umno dan rakan-rakannya itu tentu saja akan terus melontarkan suara yang berbeza dalam pelbagai isu selepas ini.

Dengan bantuan Tun Mahathir yang melakukan serangan dari luar, Najib bukan saja akan bertambah tidak selesa, malah mungkin menyebabkan hasratnya untuk bertahan lebih lama di Seri Perdana tidak kesampaian.

Bagaimanapun, jika pemecatan atau penggantungan Muhyiddin atau yang lain-lain pula diambil, ia memang memberi keselesaan kepada Najib, tetapi kesan buruknya kepada Umno dan BN dalam pilihanraya umuk akan datang mungkin lebih teruk lagi.

Selain Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan dijangka akan terus kekal dikuasai pembangkang, sebarang pemecatan atau penggantungan pada esok juga dijangka mengundang lebih bahaya kepada kekuasaan Umno di Johor, Negeri Sembilan, Terengganu, Perak dan Kedah.

Di kelima-lima negeri ini, Umno dan BN bukan saja menang dengan majoriti undi yang kecil, bahkan ketika ini perbezaan jumlah kerusi dengan pembangkang juga hanya boleh dibilang dengan jari sahaja. Dengan perpecahan yang kecil saja sudah cukup menguntungkan pihak pembangkang.

Jika sudah banyak negeri terlepas pegangan ke tangan pembangkang, tentulah boleh dijangka di mana kedudukan Umno dan BN di peringkat pusat nanti.

Simpati rakyat dan ahli Umno terhadap Muhyiddin dan Shafie sekarang ini ialah kerana mereka dianggap tidak bersalah dari segi jenayah atau moral sehingga dipecat daripada kerajaan, sebaliknya hanya kerana bertanya soalan, menegur dan mahukan jawapan berkaitan 1MDB dan derma peribadi yang menimbulkan keraguan ramai.

Sehubungan itu, suatu majlis sembahyang hajat turut diadakan di Johor malam ini untuk memohon perlindungan Tuhan terhadap perjuangan Muhyiddin demi agama, bangsa dan negara.

Apakah pilihan Najib esok agaknya? Meleraikan kesengsaraan dalam dirinya atau menambahkan bahaya kepada Umno?
shahbudindotcom.blogspot.my/

Tiada ulasan: