Zin Mahmud
Politik. Kalau pilihan raya umum ke-14 diadakan esok, Barisan Nasional menang selesa. Malah mungkin Selangor pun dapat ke tangan Barisan Nasional. Datuk Seri Najib Tun Razak akan terus jadi perdana menteri.
Ini kerana bukanlah Barisan Nasional itu kuat tetapi parti yang menentangnya adalah lemah. Derma juta juta dari Timur Tengah tidak menjadi masalah bagi kebanyakan orang Melayu
Ini kerana ia disalurkan untuk kepentingan orang Melayu, Islam, Sunnah wal Jamaah dan menentang Islam pelampau. Orang Melayu menyokong kesederhanaan dan tolak kepelampauan.
Derma itu rasuah? Kebanyakan orang Melayu boleh menerima amalan rasuah jika ia untuk kepentingan alif, ba, ta..agama, bangsa dan tanahair. Sebab itu apa yang berlaku sejak Dasar Ekonomi Baru tidak menjadi isu yang menjejaskan UMNO dan BN.
1MDB? Banyak orang Melayu pandang ia akan diselesaikan oleh kerajaan dengan apa cara jua pun. GST? Banyak orang Melayu hanya menerimanya kerana "kerajaan tahulah apa yang dibuatnya."
Ringgit jatuh? Ah, nanti dia naik balik semulalah sebab "fundamental kita kuat."
Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin? Hanya golongan kecil orang Melayu yang menyokong mereka. Ini kerana banyak orang Melayu fikir Dr Mahathir hanya memecahkan perpaduan Melayu dan melemahkan kerajaan Melayu. Muhyiddin pula tidak bersetia pada boss.
Hidup bermewah mewah Najib? Itu hak beliau sebagai orang yang ada duit.
Sementara orang Melayu yang marah pada UMNO pula tidak berselera untuk mengundi parti yang menentang UMNO.
PAS? Tengoklah perangai ulama ulamanya ketika bergaduh dengan ahli sendiri. Sungguh dahsyat. Kata kata mereka lemparkan kepada pengikut sendiri bukan saja keras tapi tak berakhlak. Tengoklah baiah taklik. Inikah ajaran Islam PAS.
Hudud? Kelam kabut nampaknya PAS ini. Tetapi nampak gaya PAS sudah baik dengan UMNO. Maka buat apa orang Melayu hendak sokong PAS lagi, baik terus sokong UMNO.
Kalau pertandingan tiga penjuru berlaku antara UMNO, PAS dan PKR atau Amanah, undi PAS terpecah dua, UMNO lah yang menang. Kalau tiga penjuru antara DAP, MCA dan PAS, maka undi Melayu pecah dan MCA menanglah. PAS akan menangkan BN.
PKR? Banyak orang Melayu simpati pada Anwar Ibrahim ketika dipenjara kali pertama. Tapi kali kedua? Apa lemahnya Anwar boleh sampai dipenjara kali kedua.
Timbul juga persoalan mengapa PKR tidak muncul sebagai parti yang kemas lagi berdisiplin. Bagaimana hendak mengharapkan PKR membela orang Melayu. Khalid Ibrahim pun tidak dapat didisiplinkan.
Parti Amanah Negara? Banyak orang Melayu percaya bahawa parti ini adalah parti yang menyokong DAP.
DAP? Kebanyakan orang Cina tetap sokong DAP tetapi kebanyakan orang Melayu tetap takut pada DAP.
Natijahnya, UMNO terus selamat dan BN terus berkuasa. Oleh kerana PAS akan bertanding di kawasan DAP, maka MCA akan menang dan Selangor akan jatuh ke tangan BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan