"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Banyak ‘harum manis’ PAS tunggu masa gugur, kata Amanah Kedah

Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah mendakwa akan ada lebih ramai individu yang dikategorikan sebagai ‘harum manis’ dalam PAS, yang hanya menunggu masa untuk keluar parti itu, lapor akhbar Sinar Harian hari ini.

Pengerusinya Datuk Dr Ismail Salleh berkata, kumpulan itu dilabel sedemikian kerana daripada segi luaran mereka merupakan ahli PAS, namun di dalam hati, mereka lebih cenderung kepada Amanah.

“Ibarat buah mempelam yang harum manis, kulit luarnya hijau, isinya oren. Inilah istilah tepat yang ditujukan kepada kumpulan ini.

"Walaupun masih bergelar ahli PAS, mereka secara senyap menyokong Amanah tetapi belum bersedia meninggalkan PAS,” katanya sambil menambah, golongan harum manis ini juga dipercayai wujud di kalangan wakil rakyat parti Islam itu di Kedah.

Selain itu, Ismail dilaporkan berkata, ‘harum manis’ ini bukan saja di Kedah tetapi wujud di setiap negeri dan jumlahnya ramai.

“Mereka akan sertai Amanah dalam masa terdekat, tunggu masa sesuai. Malah, sudah ada yang berani sertai program secara terang-terangan.

“Golongan muda antara paling ramai menunjukkan minat. Kemungkinan wakil rakyat pun ada tunjuk kecenderungan,” katanya dipetik berkata kepada akhbar itu.

Ismail berkata, golongan terbabit terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang, serta peringkat, sama ada ahli biasa atau berjawatan.

Sinar Harian melaporkan beliau berkata, antara kekangan yang menghalang ahli PAS meninggalkan parti Islam itu ialah kenyataan dibuat pimpinan tertinggi parti, termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang berunsurkan ugutan atau mengelirukan.

“PAS cuba menakut-nakutkan ahlinya dengan ancaman ‘kafir’ jika keluar parti, selain kenyataan yang menyebabkan ahlinya keliru atau terikat untuk berhijrah.

"Mereka yang bercadang untuk berhijrah, akhirnya terpaksa tunggu dan lihat, bagi tempoh tertentu, agar suasana lebih harmoni,” katanya dipetik sebagai berkata.

Sebelum ini, The Malaysian Insider melaporkan, pertembungan antara PAS dan parti serpihannya, Amanah, memasuki era perang proksi dan psikologi apabila sebahagian pemimpin dan ahli PAS yang pro Amanah terus kekal dalam parti Islam itu.

Ketika menjelaskan siapa mereka, maka lahirlah pelbagai label atau bayangan bagi menggambarkan kumpulan mereka masing-masing, seperti harum manis, kelapa muda, kelapa tua dan sebagainya.

Ahli Parlimen Pokok Sena daripada PAS, Datuk Mahfuz Omar misalnya, mengakui beliau seorang ‘harum manis’ apabila rakan-rakannya dalam Amanah bertanya apakah pendirian sebenar beliau.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: