"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tu dia!! 18,000 remaja hamil setiap tahun

PUTRAJAYA: Purata 18,000 remaja di Malaysia hamil setiap tahun dan mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Daripada jumlah itu, 25 peratus atau kira-kira 4,500 kes membabitkan remaja yang mengandung luar nikah, katanya.

"Secara purata terdapat 1,500 kes remaja hamil setiap bulan dan 50 kes sehari di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program Generasiku Sayang peringkat kebangsaan oleh Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tekanan punca ambil keputusan luar jangka]

Ditanya mengenai bilangan remaja yang hamil akibat dirogol, Dr Subramaniam
berkata, jumlahnya amat kecil.

Beliau berkata kehamilan di kalangan remaja bukan sahaja memberi kesan kepada individu berkenaan, malah dikhuatiri boleh mengundang risiko kematian terhadap bayi dalam kandungan selain ibu itu sendiri.

"Kadangkala ada remaja ini yang sembunyikan kehamilan mereka sehingga mendatangkan risiko kepada badan sendiri dan ada yang meninggal dunia semasa proses kehamilan atau ketika bersalin," katanya.

"Isu remaja hamil ini merupakan satu isu yang amat sensitif, tidak seperti orang sakit boleh jumpa doktor dan dapat rawatan," katanya lagi.

Menurutnya, Kaji Selidik Kesihatan Pelajar Berasaskan Sekolah Global kendalian Kementerian Kesihatan pada 2012 membabitkan remaja berusia 13 hingga 17 tahun di seluruh negara, mendapati 50.4 peratus yang ditemui mengaku mengadakan hubungan seks kali pertama sebelum usia 14 tahun.

"Jika ini tidak ditangani ia akan meningkatkan lagi risiko kehamilan di kalangan remaja dan seterusnya mengundang kesan negatif seperti pembuangan bayi," kata Dr Subramaniam.

Mengenai pelancaran program Generasiku Sayang peringkat kebangsaan, Dr Subramaniam berkata ia bertujuan meningkatkan kesedaran semua pihak agar
mengambil tindakan lebih berkesan menghadapi isu wanita dan remaja hamil.

Menerusi program itu, Kementerian Kesihatan menyediakan pusat jagaan yang memberi perlindungan dan penjagaan kepada remaja serta wanita hamil tanpa nikah selain bayi yang bakal dilahirkan.

Ketika ini pusat penjagaan Generasiku Sayang telah diwujudkan di semua negeri kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Pahang. 
-Bernama-

Tiada ulasan: