"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bye-bye Umno

Muhyiddin digantung timbalan presiden, Zahid memangku

Tan Sri Muhyiddin Yassin digantung jawatan sebagai timbalan presiden Umno berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata penggantungan Muhyiddin itu berkuat kuasa sehingga pemilihan parti akan datang.

Katanya, keputusan dibuat secara sepakat pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang ini.

Bagaimanapun katanya, jawatan lain Muhyiddin dalam parti masih kekal.

"Keputusan itu diambil selepas MT berpuas hati Muhyiddin gagal menjalankan tugasnya sebagai timbalan presiden mengikut fasal 9.8.1 Perlembagaan parti," katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.

Muhyiddin tidak hadir dalam mesyuarat hari ini dan dikatakan berada di luar negara.

Tengku Adnan juga berkata memandangkan tiada pemangku jawatan timbalan presiden dalam perlembagaan parti, MT memutuskan supaya Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memangku tugas Muhyiddin sehingga pemilihan parti akan datang.

Umno terus mara

Menurutnya, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang juga adalah perdana menteri dan Zahid telah memohon meninggalkan mesyuarat MT itu kerana tidak mahu terlibat dalam perbincangan usul pergantungan itu.

"MT bersetuju permintaan kedua-dua pemimpin itu dan melantik Datuk Seri Hishammuddin untuk mempengerusikan sementara mesyuarat bagi membincangkan usul itu," katanya.

Hishammuddin pada sidang media yang sama berkata keputusan dibuat berdasarkan konsensus tadi diharap dapat membantu parti Melayu itu untuk terus mara.

“Hakikat bahawa keputusan telah dibuat oleh majlis tertinggi dan keputusan dibuat ini bersandarkan (kepada sebab) kita nak melihat ke hadapan (dalam) satu pasukan bagi berhadapan dengan rakyat.

“Dan harapan peribadi saya, dengan keputusan yang dibuat secara konsensus ini dapat membantu kita bergerak ke hadapan tanpa kita mempertikaikan gerakan-gerakan yang saya tengok penting ketika kita berhadapan dengan rakyat,” katanya kepada pemberita di lobi PWTC.

Muhyiddin sebelum ini digugurkan jawatan sebagai timbalan perdana menteri setelah lantang mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.

Kuatkan cengkaman

Langkah itu dilihat sebagai gerak terbaru Najib menguatkan cengkamannya dalam parti setelah Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali membersihkan beliau daripada sebarang salah laku.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhkriz Mahathir, yang juga kritikal kepada pentadbiran Najib seperti bapanya, juga telah berjaya ditukar sebelum ini.

Seorang anggota MT Datuk Seri Nazri Aziz baru-baru ini mengumpamakan tindakan Muhyiddin kebelakangan ini “ibarat anjing yang sibuk menggigit kaki” sehingga menyukarkan Umno melaksanakan tanggungjawabnya.

Beliau sebelum ini berkata mahu membawa cadangan kepada jawatankuasa disiplin parti pada mesyuarat MT Umno hari ini agar Muhyiddin digantung jawatannya.


---------
Singkir Muhyiddin 'paku akhir untuk keranda Umno'

Bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sekiranya benar Tan Sri Muhyiddin Yassin akan digugurkan daripada jawatannya sebagai Timbalan Presiden Umno, ia bakal menjadi paku terakhir buat keranda parti Melayu berkenaan.

Katanya, langkah itu juga akan menguburkan nilai dan prinsip yang "menjadi tunggak kekuatan Umno selama ini".

Jelas ADUN Ayer Hitam itu lagi sekiranya Muhyiddin disingkirkan ia akan menghampakan rakyat Johor kerana beliau dilihat berpotensi untuk dinaikkan pangkat sebagai perdana menteri.

“Semua itu hilang apabila Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan tersebut,” kesalnya.

Kata Mukhriz, ada kemungkinan juga desas-desus penyingkiran Muhyiddin daripada jawatan Umno disebarkan jentera propaganda Presiden Umno untuk melihat reaksi ahli parti itu dan rakyat.

Mesyuarat Tertinggi (MT) Umno akan bermesyuarat petang ini dan difahamkan salah satu agendanya ialah membincangkan kedudukan Muhyiddin.

Tak dapat diterima

Bekas Menteri Besar Johor itu digugurkan daripada jawatan timbalan perdana menteri pada Julai tahun lalu selepas beberapa kali membuat teguran kepada pemimpin atasan berhubung cara kerajaan mengendalikan isu 1MDB.

Turut digugurkan bersama Muhyiddin adalah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang ketika itu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Ketika isu itu masih panas, Mukhriz dilihat berpihak kepada Muhyiddin dan Mohd Shafie. Selain itu bapa Mukhriz, Tun Dr Mahathir Mohamad juga menjadi antara pengkritik Najib paling lantang.

Mukhriz berkata, apa jua alasan yang diberikan oleh MT Umno untuk menyingkirkan Muhyiddin, ia tidak boleh diterima memandangkan Ketua Bahagian Umno Pagoh itu dipilih dalam pemilihan parti.

"Dakwaan bahawa timbalan presiden tidak membantu presiden, malah mengkritik presiden cukup untuk dijadikan alasan supaya diambil tindakan, tidak boleh diterima sama sekali.” katanya.

Malah Mukhriz mengegaskan perlembagaan Umno tidak menghalang ahli dan pemimpinnya mempersoalkan isu yang dibangkitkan rakyat.

“Ia adalah tunjang kepada perkhidmatan kepada rakyat. Maka, tindakan mempersoalkan isu besar untuk diperhalusi secara bersama tidak boleh dianggap salah,” katanya.

Bakal jadi pendakwa

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata tanpa melihat diri sendiri, sebilangan pemimpin tertinggi Umno tanpa segan silu memperlekehkan teguran akar umbi sebaliknya ia dilihat sebagai cubaan memecahbelahkan kekuatan parti.

“Hakikatnya, gerombolan pemimpin kaki ampu inilah sebenarnya merupakan pengemudi yang sedang membawa haluan Umno tersasar dari perjuangan asal dalam membela dan mempertahankan kepentingan Rakyat,” katanya.

Walaupun berharap MT Umno tidak mengambil tindakan terhadap Muhyiddin, Mukhriz berkata beliau "tidak menaruh harapan tinggi" kepada mereka kerana menganggapnya sebagai "kaki ampu" atas alasan kononnya melakukan demi kebaikan Umno.

“Ini kerana kenyataan-kenyataan dikeluarkan beberapa ahli MT kebelakangan ini yang lebih bersifat mengampu presiden dan menghalalkan kebatilan.

“Saya percaya sebilangan mereka bakal menjadi 'pendakwa-pendakwa' yang juga ingin membuktikan jasa dan peranan dalam mempertahankan presiden,” katanya
-malaysiakini-

Tiada ulasan: