"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zamihan kata pimpinan tertinggi negara arah batal debat

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin berkata debat dengan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin terpaksa dibatalkan atas arahan pimpinan tertinggi negara.

Diskusi ilmu mengenai ekstremisme agama yang menggandingkan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin yang sepatutnya berlangsung esok dibatalkan pada saat-saat akhir.

Menurut Zamihan ketika dihubungi The Malaysian Insider, debat tersebut yang dijadualkan berlangsung di Auditorium Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya terpaksa dibatalkan atas arahan pimpinan tertinggi negara.

"Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Shahidan Kassim pun sedia maklum, (debat) pada 17 haribulan itu, atas arahan pimpinan tertinggi negara, dibatalkan," katanya yang enggan mendedahkan siapa kepimpinan tertinggi yang dimaksudkan.

 Asri dan Zamihan dilaporkan bakal berdepan antara satu sama lain menerusi satu wacana anjuran Shahidan bertajuk "Ekstremisme Agama di Malaysia: Satu Perbincangan".

Sebelum ini, Asri menyatakan persetujuannya menerima cabaran debat Zamihan bagi memberi penjelasan kepada orang ramai, bukan menentukan siapa menang atau kalah.

Zamihan sebelum itu dilaporkan sedia mengambil tindakan undang-undang dan mengadakan perdebatan dengan Asri sekiranya mufti itu terus mengaitkan dirinya dengan elemen pro Syiah, ekstremis takfir dan sesat.

Melihat keadaan yang meruncing itu, Shahidan menerusi posting di Facebook mencadangkan kedua-duanya hadir dalam satu program wacana bagi menjernihkan keadaan.

Susulan persetujuan dicapai untuk diadakan debat itu secara terbuka, beberapa pihak tampil menyatakan ia lebih baik berlangsung dalam keadaan tertutup bagi mengelak mudarat sambil ada yang menyokong ia dibuka dalam usaha mencari kebenaran.

Bagaimanapun, Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, debat Asri-Zamihan itu tidak perlu, sambil menambah, jika wujud keperluan mendesak untuknya, beliau meminta ia diadakan secara tertutup.

Awal pagi ini, Shahidan menerusi laman Facebooknya mengumumkan wacana itu dibatalkan dan akan digantikan dengan "diskusi berskala kecil dan tertutup" antara Asri dan wakil Zamihan.

"Tanpa menceritakan apa yang berlaku maka saya ingin umumkan wacana tersebut dibatalkan. Semua jemputan dan lain-lain urusan tidak diteruskan.

"Saya memohon maaf di atas apa yang berlaku dan menyeru kepada semua pihak agar tidak membiarkan apa-apa isu berlarutan dengan persepsi, tetapi paparkanlah fakta serta-merta untuk mengelakkan buruk sangka dan fitnah daripada berleluasa," katanya.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Shahidan hanya berkata: "Zamihan sebagai pegawai kerajaan, ada bos. Mungkin tidak dipersetujui bos," menjelaskan kenapa wakil Zamihan yang akan hadir.

Zamihan merupakan pegawai agama di Kementerian Dalam Negeri.

Bagaimanapun, pada tengahari ini, Shahidan sekali lagi menulis posting di Facebook beliau mengatakan diskusi berskala kecil itu juga dibatalkan dan sebaliknya program seakan sama akan dianjurkan akhbar Sinar Harian.

"Atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, maka diskusi berskala kecil atas tajuk ekstremisme agama di Malaysia juga terpaksa dibatalkan.

"Namùn saya dimaklumkan wacana ilmu di atas tajuk yang sama dan ahli panel yang sama (mungkin masa sama) akan dianjurkan Sinar Harian. Tarikh juga sama," katanya.

Zamihan bagaimanapun berkata kepada The Malaysian Insider, beliau tidak mendapat sebarang undangan daripada Sinar mengenai sebarang debat.

"Sinar Harian nak anjur macam mana. Apa kuasa dia? Dia hanya nak lariskan jualan dia saja. Dia nak anjur macam mana? Dan dia tiada pun hantar surat kepada saya.

"Saya ini penjawat awam, dia kena hantar surat kepada menteri saya (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) barulah saya boleh menyahut undangan berkenaan.

"Kena profesionallah dalam membuat undangan. Jangan main tangkap muat macam tepi jalan saja," katanya.

The Malaysian Insider sedang dalam proses menghubungi Sinar Harian bagi mendapatkan penjelasan lanjut
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: