Tuan Nazurri
Terengganu Darul Iman sekali lagi bergolak melibatkan krisis antara Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin
Segala-galanya bermula selepas Sultan Mizan menarik balik semua gelaran yang diberikan kepada Menteri Besar Terengganu ke-14 itu berkuatkuasa 22 April lalu.
Maka, tersebar pelbagai dakwaan kononnya Sultan Terengganu murka dengan teks ucapan yang dibacakan Sultan Mizan yang memperkecilkan sumbangan Yayasan Diraja Sultan Mizan.
Akhbar Cina pula membuat spekulasi bahawa krisis itu berpunca apabila Ahmad Razif menyokong pendakwah dari India, Dr Zakir Naik dan menawarkan tiga pulau di Tasik Kenyir kepada Zakir, bagi tujuan penubuhan cawangan atau pusat penyelidikan Islam bagi rantau Asia Tenggara di Terengganu.
Apapun spekulasi punca krisis itu bermula, kedudukan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar dikatakan ibarat ‘nyawa di hujung tanduk’ kerana sebagai ketua pentadbir sebuah kerajaan, Menteri Besar mesti mempunyai hubungan sangat baik dengan Sultan Terengganu.
Menteri Besar bertanggungjawab menghadap Sultan sama ada sebelum atau selepas Mesyuarat EXCO Negeri untuk memaklumkan perkembangan negeri dan keputusan-keputusan yang dibuat kerajaan negeri yang memerlukan perkenaan daripada Sultan.
Jika hubungan Menteri Besar dan Sultan tidak baik, pentadbiran negeri terganggu dan banyak keputusan-keputusan tidak dapat dilaksanakan.
Justeru, dalam krisis di Terengganu ini, jalan paling baik adalah menukar Menteri Besar supaya krisis itu tidak terus berpanjangan.
Jika dikatakan kerusi Menteri Besar Selangor panas, sebenarnya Terengganu lagi panas berdasarkan sejarah Datuk Seri Idris Jusoh apabila beliau tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua selepas pilihan raya 2008.
Beberapa kain rentang yang berbunyi “Kami nak Idris, natang”, yang bermaksud “kami hendak Idris, binatang” dalam loghat Terengganu, telah dipamer di depan kediaman rasmi bekas Menteri Besar Terengganu itu dan beberapa tempat strategik di bandar itu oleh orang yang tidak diketahui.
Tiada siapa mengaku memasang kain rentang itu tetapi insiden itu telah menimbulkan persepsi berlaku penderhakaan kepada institusi beraja di negara ini
ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said dilantik sebagai Menteri Besar ke-13 menggantikan Idris yang mendapat perkenan Sultan Terengganu, namun Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi mempertikai hak Sultan melantik Menteri Besar, dengan berkata bahawa pelantikan Ahmad Said “tidak mengikut Perlembagaan”.
Pada Mei 2014, pelantikan Ahmad Razif pula menjadi perhatian selepas Ahmad Said ‘dipaksa meletak’ jawatan Menteri Besar. Ahmad yang terkenal dengan gelaran ‘nelang’ atau ‘berani melawan’ pada mulanya enggan meletak jawatan dan mengugut mendedahkan rahsia kerajaan tetapi akhirnya akur.
Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu tahun lalu, Ahmad menggegarkan negara apabila mendakwa peletakan jawatan Menteri Besar ada kaitan dengan Terengganu Invesment Authority (TIA) yang sekarang dikenali 1MDB.
Katanya, dia pernah menolak cadangan 1MDB untuk pajak gadai hasil petroleum dan gas di Laut Terengganu yang menyebabkan Perdana Menteri tidak puas hati dan mendesaknya meletak jawatan.
Berbalik kepada krisis Ahmad Razif dan Sultan Terengganu, penganalisis politik berpendapat jalan terbaik adalah menggantikan Menteri Besar baharu.
Spekulasi pula menyebut dua nama, ADUN Permaisuri, Datuk Mohd Jidin Shafee dan ADUN Telemong, Datuk Pozi Mamat bagi menggantikan Ahmad Razif.
Namun antara kedua-dua calon itu, peluang Mohd Jidin lebih cerah kerana lebih berpengalaman dan pernah menjadi Ahli Parlimen Setiu dan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan menghadap Sultan Terengganu dalam waktu terdekat ini dan cerita mula tersebar pihak Istana Terengganu sudah bersiap sedia untuk majlis mengangkat sumpah Menteri Besar baharu.
Dikhabarkan pula Najib dan pihak istana mempunyai calon masing-masing untuk mengetuai pentadbiran negeri.
Adakah Ahmad Said ada kaitan dalam krisis ini? Ini kerana beliau pernah meramalkan Ahmad Razif bakal kehilangan jawatan Menteri Besar.
Ahmad Said menafikan perkara itu dan mengaku tidak tahu menahu Sultan Terengganu menarik semua gelaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif.
Biar apapun, rakyat Terengganu berharap krisis ini tidak berpanjangan seperti di Kedah, kerana ia boleh mengganggu pentadbiran negeri selain ia memberi gambaran sebenar bahawa UMNO sedang menghadapi masalah besar di negeri itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan