"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zakir Naik cetus fenomena

MOHD. RADZI MOHD. ZIN
Kedatangan pendakwah antarabangsa terkenal, Dr. Zakir Naik, 50, sememangnya mencetuskan fenomena. Seingat penulis, belum pernah siri ceramah agama dibanjiri oleh puluhan ribu manusia yang terdiri daripada bukan sahaja orang Islam tetapi ramai dalam kalangan bukan Islam

Demikian hebat dan luar biasanya doktor perubatan yang dilahirkan di Mumbai ini. Ia sekali gus menguatkan lagi kebenaran firman Allah SWT yang mengangkat darjat orang yang berilmu. (rujuk ayat 11 surah al-Mujadalah)

Terbaharu, ceramah beliau di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, esok dijangka dihadiri oleh 30,000 orang. Demikianlah aturan Allah SWT. Di sebalik bantahan oleh Hindraf dan segelintir penganut Hindu yang membawa kepada pembatalan forum bertajuk Similarities Between Hinduism and Islam di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) Ahad ini, nama Dr. Zakir makin popular. Alhamdulillah, pembatalan itu ditarik semula selepas diganti tajuk baru The Solution To The Problems of Humanity.

Memang resmi manusia, semakin dilarang atau dihalang melakukan sesuatu, makin kuat keinginan untuk mendapatkan bahan larangan tersebut. Ternyata, liputan luas media massa tempatan yang memaparkannya dalam muka depan akhbar masing-masing tentang pembatalan itu sebenarnya mempunyai rahmat. Semakin ramai terutama yang bukan Islam mahu mengenali dan mendengar syarahan insan yang pakar dalam per­bandingan agama ini.

Antara ungkapan ‘hikmah’ beliau yang mengesankan adalah semasa menjawab pertanyaan seorang penganut kristian seperti yang disiar menerusi YouTube: “Untuk mengetahui tentang Islam jangan lihat pada umatnya tetapi kajilah al-Quran dan hadis-hadis sahih”.

Sebab itu, jangan terpedaya dengan gerakan-gerakan keganasan dan militan yang bertopengkan Islam. Kumpulan seperti militan IS sebenarnya bukan mengikut ajaran Islam. Islam adalah agama yang sejahtera. Ia melarang segala bentuk penganiayaan, kezaliman dan maksiat.

Malangnya, kejahatan yang dilakukan oleh sebahagian penganutnya telah mencalar dan mencemar kesucian agama Islam. Namun, jawapannya mudah. Itulah beza muslim (orang Islam) dan mukmin (orang beriman).

Keresahan Hindraf terhadap Dr. Zakir mungkin kerana pendakwah ini bukan sahaja memiliki pakej ilmuwan yang lengkap (petah berhujah dengan dalil al-Quran, hadis, Taurat, Injil dan juga kitab-kitab agama lain termasuk Hindu), beliau juga berupaya memberi jawapan yang tepat dan memuaskan hati. Natijahnya, ramai yang beliau Islamkan usai sesi soal jawab.

Demikianlah Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Ini bukan ajaib kerana hanya Islam agama yang benar sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya agama yang benar dan diredai Allah ialah agama Islam. (ali-Imran: 19)

Kita sebenarnya harmoni dengan masyarakat India dalam banyak hal apabila boleh berkongsi makanan yang sama se­perti capati, tosai, maruku dan putu mayam. Malangnya, dalam agama, toleransi itu nampaknya tidak wujud.

Seperkara lagi, dalam kita mengalu-alukan kedatangan be­liau ke Malaysia dan menghadiri sesi ceramah beliau, jangan kita alpa keutamaan menuntut ilmu fardu ain terutama bab fikah dan tauhid. Biasanya ilmu-ilmu ini diajar di masjid dan surau oleh para ustaz dan ustazah.

Jangan kita melenting apabila ceramah Dr. Zakir dibatal atau dihalang sedangkan selama ini kita tidak pernah memijak tangga masjid dan surau mengikuti siri kuliah yang diadakan. Kita memerlukan lebih ramai insan sehebat Dr. Zakir untuk menyebar luaskan dakwah khasnya kepada orang bukan Islam.

Semoga kita istiqamah beribadat dan dimatikan dalam khusnul khatimah. Sebabnya, barang siapa yang mencari agama selain Islam, maka ia termasuk orang yang rugi di akhirat kelak. (rujuk ayat 85 surah ali-Imran)

Tiada ulasan: