FMT Reporters
PETALING JAYA: “Tuhan suruh saya datang rumah kamu!”
Itulah alasan tidak masuk akal yang diberikan seorang lelaki, selepas dia dikesan menceroboh halaman rumah seorang hakim mahkamah tinggi di Segambut, Sabtu lalu.
Menurut laporan China Press, lelaki Melayu yang dipercayai menghidap penyakit mental itu bertindak memanjat dinding untuk masuk ke halaman rumah hakim berkenaan.
Bagaimanapun, kehadirannya berjaya dikesan isteri hakim itu kira-kira jam 4 petang, sebelum memaklumkan perkara itu kepada suaminya dan meminta suspek keluar dari rumahnya, di mana suspek segera memanjat dinding belakang untuk keluar dari rumah terbabit.
Kejadian itu bertambah pelik, apabila suspek kembali ke rumah itu dengan menaiki sebuah kenderaan Honda HRV, setengah jam kemudian.
Dia menekan loceng rumah itu dan memohon maaf kepada hakim terbabit serta memberi alasan “Tuhan” mengarahkannya pergi ke rumah berkenaan, sebelum beredar dari sana.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R Munusamy berkata, kejadian itu berlaku di sebuah taman perumahan di Segambut, di mana rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa berjaya merakamkan kelibat suspek yang berbaju biru dan berseluar panjang hitam itu.
Hasil siasatan polis mendapati, kenderaan yang digunakan suspek itu disenaraikan sebagai kereta hilang sejak 4 April lalu.
“Polis tidak menolak kemungkinan suspek terbabit dalam kes kecurian kereta, namun ia masih dalam siasatan. Polis telah meneliti CCTV dan giat mengesan suspek,” katanya sambil menambah, polis juga hairan dengan motif suspek bertindak sedemikian.
Jelasnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan