"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelajar dirogol bergilir-gilir 4 kenalan Wechat

Batu Pahat – Seorang pelajar berusia 13 tahun mendakwa dirogol empat rakan lelaki yang baharu dikenalinya daripada aplikasi sosial Wechat di sebuah pondok di kebun kelapa sawit di Kampung Manong, Ayer Hitam, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam Khamis lalu, mangsa mendakwa dirogol kenalan lelakinya itu sebelum tiga lagi rakan lelaki berkenaan tiba di lokasi kejadian dan merogol mangsa bergilir-gilir.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata melalui siasatan awal, mangsa mengaku baharu mengenali seorang daripada rakan lelakinya itu 10 hari lalu di Wechat, sebelum bertemu dan dirogol.

Katanya, dua suspek yang berusia 15 dan 14 tahun sudah ditahan manakala polis masih mengesan dua lagi suspek.

“Sebelum kejadian, mangsa keluar dari rumahnya di Parit Raja, di sini, dengan memberitahu ibunya hendak belajar di rumah rakan namun sebaliknya bertemu kenalan lelaki berkenaan untuk bersiar-siar.

“Mangsa kemudian mengikut kenalan lelakinya itu menaiki motosikal ke Ayer Hitam sebelum bertemu tiga lagi rakan temannya itu dan dipaksa mengikut mereka ke sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Manong.

“Mangsa diajak ke sebuah pondok di kebun sawit berkenaan sebelum dirogol secara bergilir-gilir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Wahib berkata, penduduk kampung yang menyedari kejadian berkenaan bertindak menyerbu pondok itu menyebabkan kesemua empat suspek serta mangsa melarikan diri dan bersembunyi di dalam kebun sawit berkenaan dengan meninggalkan motosikal mereka.

Katanya, penduduk kampung bertindak menghubungi polis dan bapa mangsa sebelum menyerahkan mangsa kepada pihak berkuasa.

“Walaupun awalnya keempat-empat suspek melarikan diri, dua daripadanya berjaya ditahan dan kita sedang mengesan dua lagi suspek,” katanya.

Beliau berkata, mangsa turut mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan beberapa lelaki lain sebelum ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan./BH Online

Rogol pelajar: 2 remaja ditahan, 2 diburu

Johor Baharu – Polis menahan dua remaja lelaki dan sedang memburu dua yang lain kerana dipercayai merogol seorang pelajar tingkatan satu di sebuah pondok di kebun kelapa sawit, Kampung Manong, Ayer Hitam dekat Batu Pahat, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa berkata dua remaja lelaki yang berumur 14 dan 15 tahun serta tinggal di kawasan Ayer Hitam dan Parit Raja, Batu Pahat itu ditahan kira-kira 2 petang semalam di kawasan Ayer Hitam.

“Siasatan awal mendapati remaja perempuan berusia 13 tahun dan bersekolah di Parit Raja berkenaan didapati mengenali seorang daripada remaja lelaki terbabit menerusi aplikasi WeChat sejak 8 Sept lepas,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Abdul Wahib berkata terdahulu, pada kira-kira 9 malam, Khamis lepas, remaja perempuan terbabit memberitahu ibunya bahawa dia mahu keluar rumah untuk belajar di rumah rakannya di Parit Raja.

Beliau berkata sebenarnya, remaja perempuan terbabit sudah berjanji dengan seorang daripada remaja lelaki terbabit untuk keluar makan di sekitar Parit Raja.

Katanya remaja perempuan itu mengikut remaja lelaki terbabit menaiki sebuah motosikal ke pekan Ayer Hitam dan dia kemudian dibawa berjumpa tiga remaja lelaki lain sebelum kesemua mereka pergi ke pondok tersebut menunggang tiga motosikal.

Menurut Abdul Wahib, remaja perempuan itu kemudian dirogol bergilir-gilir di pondok tersebut, namun, dia dan kesemua empat remaja lelaki itu melarikan diri apabila penduduk kampung menyedari kejadian berkenaan.

“Mangsa (remaja perempuan) menyorokkan diri di belakang sebatang pokok manakala kesemua empat remaja lelaki itu melarikan diri dengan meninggalkan dua motosikal mereka.

“Penduduk kampung kemudian bertindak menghubungi bapa mangsa lalu bapa mangsa datang mengambil mangsa dan seterusnya membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Hitam,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol dan polis giat mengesan dua lagi remaja lelaki terbabit yang dipercayai masih berada di sekitar Ayer Hitam bagi membantu siasatan. – Bernama

Tiada ulasan: