"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Calon BN Melaka: Ada tolak watikah, ada yang 'lari'

PRU14 | Ketika Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Idris Haron mengumumkan calon untuk pilihan raya umum ini, calon Parlimen Machap Baru dari MCA, Koh Nai Kwong tidak hadir, sementara calon parti itu untuk DUN Bandar Hilir, Lee Chong Len melarikan diri.

Menurut Oriental Daily, Idris telah memanggil Koh ke kediaman rasminya di Ayer Keroh untuk membincangkan kedudukannya pagi tadi.

Koh ialah ahli parlimen penyandang kerusi Alor Gajah tetapi dipindahkan ke kerusi DUN Machap Jaya bagi memberi laluan kepada setiausaha politik perdana menteri (kerajaan sementara) Wong Nai Chee walaupun menerima bantahan akar umbi.

Laporan itu berkata Idris berusaha meyakinkan Koh untuk menerima susunan baru tetapi Koh menolak dan meninggalkan kediaman rasmi Idris selepas mesyuarat selama 30 minit, sejurus sebelum majlis pelantikan.

Koh dipetik Oriental Daily berkata, Idris telah berjanji kepadanya untuk membuat keputusan dalam masa 24 jam. Beliau belum menerima surat watikah pelantikan calon untuk bertanding di DUN Machap Jaya.

MCA hanya memenangi kerusi Machap Jaya dengan majoriti tipis sebanyak 152 undi pada pilihan raya umum lepas. Sebaliknya, parti itu menang besar di Alor Gajah dengan majoriti 11,597 undi.

Bagaimanapun, laporan itu menyebut Lee yang disebut-sebut sebagai calon kerusi DUN Kesidang kemudiannya bergegas meninggalkan majlis selepas diumumkan sebagai calon kerusi DUN Bandar Hilir.

Pada pilihan raya umum lepas, MCA kalah DUN Kesidang dengan majoriti 3,818 undi. Bandar Hilir pula kerusi yang lebih sukar, yang mana MCA tewas dengan majoriti 7952 undi.

Bagaimanapun, dalam wawancaranya dengan akhbar berbahasa Cina itu, Lee, seorang akauntan, menjelaskan punca beliau secara tiba-tiba meninggalkan kediaman ketua menteri ketika diumumkan sebagai calon di kubu kuat DAP itu.

"Saya hanya pergi untuk memerhatikan suasana ... Saya tidak jangka akan diumumkan sebagai calon.

Tergamam, cepat-cepat pergi

"Saya tergamam dan saya tidak tahu apa yang perlu dibuat. Saya tidak mahu hanya mengambil surat watikah pelantikan itu jadi saya cepat-cepat pergi," katanya.

Lee berkata beliau tidak pernah bertanding dalam pilihan raya umum sebelum ini dan terpaksa berfikir mengenainya tetapi menyerahkan perkara itu kepada partinya.

Manakala itu, Wong yang menerima surat watikah pelantikannya untuk bertanding kerusi parlimen Alor Gajah menggesa anggota MCA merapatkan barisan.

Laporan itu memetik Wong sebagai berkata bahawa ketika beliau menjadi ahli parlimen Kota Melaka dari tahun 2004 hingga 2008, Koh ialah ADUN Kesidang, yang merupakan kerusi DUN di bawah parlimen tersebut.

Pada masa itu, Wong berkata beliau mempunyai hubungan kerja yang baik dengan Koh dan berharap hubungan tersebut dapat dibina semula.

Machap Jaya ialah kerusi DUN di bawah Parlimen Alor Gajah.
-malaysiakini

Tiada ulasan: