"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib dibayangi tirai besi

AHMAD LUTFI OTHMAN
Ahmad Lutfi OthmanKolum ini lama tidak terisi dengan komentar segar. Dua kali tulisan pemanas badan dikutip daripada buku Parti Amanah Negara: Cabaran, Halangan dan Potensi Sebagai Parti Islam Berpengaruh, Berintegriti.

Memang sudah terlalu lewat untuk saya memulakan. PRU14 sekitar dua minggu sahaja lagi. Namun, langsung tidak mempedulikan momen terpenting untuk bersama-sama merakam sejarah baru buat tanahair tercinta lagilah merupakan sikap tercela.

PRU14 dianggap gelanggang paling sengit, medan tempur memakan korban terbesar dan ibu segala pilihan raya. Itulah juga yang pernah dilabel kepada PRU1990, PRU1999, PRU2013. Masing-masing mempunyai keunikan tersendiri. Paling penting, dalam pilihan raya berkenaan, harapan dan impian rakyat untuk melihat kerajaan bertukar begitu tinggi.

Berbanding siri pilihan raya sebelumnya, bermula 1990, kali ini saya secara peribadi sekadar menjadi pemerhati pasif. Ya, benar-benar terpaku di rumah, hospital dan pusat dialisis. Tidak lagi berpeluang untuk meninjau di tengah lapangan atau turun merasai keresahan dan harapan rakyat di peringkat akar umbi.

Tengku Razaleigh Hamzah membentuk gabungan pembangkang, Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat pada 1990. Anwar Ibrahim, walaupun jasadnya terpenjara pada 1999, tetapi berjaya menyatukan oposisi dalam kolisi yang lebih mantap.

Pas dan DAP yang dianggap berbeda kutub, boleh bersemuka di meja rundingan dan menubuhkan Barisan Alternatif. Juga dibantu oleh sikap terbuka dan berpandangan jauh Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Dr Mahathir Mohamad, dengan segala kontroversi, seolah-olah menyempurnakan impian sejak sekian lama, iaitu mendirikan Pakatan Harapan, yang mempunyai struktur rasmi, dengan lambang dan simbol yang satu. Kini pembangkang diikat secara formal dan buat pertama kali dalam sejarah, bertanding dengan satu logo.

Lebih menakjubkan, empat parti berbeda, mengambil masa paling singkat melupakan pertikaian dan pertembungan sesama sendiri, bagi menumbangkan kleptokrat termasyhur.

Seteguh mana pun persepakatan pembangkang diikat, sehebat mana pun panglima perang mengatur strategi, seefisyen mana pun jentera disusun, tanpa penglibatan rakyat di segenap peringkat, misi kali ini mungkin mengulangi kegagalan.

Justeru, nurani saya seperti memberontak, masakan aku hanya diam di atas pembaringan, sekadar menyaksikan proses sejarah baru bakal terbentuk, dan mendoakan agar segalanya berjalan lancar.

Apakah semudah itu regim Umno-BN yang berakar teguh sejak enam dekad lalu, dapat dicabut?

Najib Razak, yang menyedari hari esoknya bukan sahaja suram dan kelam, tapi dibayangi kehidupan di balik tirai besi, sudah tentu mengerah serta memperalat apa saja aset, kemudahan dan sumber bagi menyelamatkan diri.

Ya, tidak mudah untuk negara dunia ketiga yang defisit demokrasinya, bagi menyaksikan peralihan pemerintahan. Mahathir boleh membantu. Roh perjuangan Anwar boleh menyuntik inspirasi.

Segenap ketumbukan parti Amanah, Keadilan, DAP dan Bersatu boleh mendukung misi besar ini. Namun, jika rakyat terbanyak masih boleh diperdaya dan dikelirukan di saat-saat akhir, antaranya dengan racun perkauman dan slogan murahan agama, dibimbangi, regim korup terselamat lagi.

Dalam diam, sementara menghadapi rutin rawatan yang mengambil sebahagian besar masa, saya bertambah resah dan gelisah. Seperti kebanyakan warga lainnya, saya turut mengimpikan Malaysia yang baru, adil dan mampu menjadi pelindung buat golongan terpinggir, bakal menjelma seawal tengah malam 9 Mei nanti.

Bagaimanapun, dalam politik, sehari sudah terlalu lama, apatah lagi 2 minggu sebelum PRU14, macam-macam boleh berlaku. Kita mesti terus berwaspada dan berhati-hati. Elak daripada melakukan kesilapan yang boleh dimanipulasi. Perangkap sentiasa mengintai. Kelalaian, kealpaan dan sikap syok sendiri bakal membawa padah.

Kelihatan seperti ada yang masih was-was dan bimbang, termasuk daripada kelompok pembangkang sendiri, yang akhirnya mungkin akan menyusutkan undi Pakatan Harapan.

Saya cuba dengan kudrat terbatas, untuk bersama-sama rakyat, saling membahu, merangsang proses penukaran kerajaan, melalui kolum ini, bagi menawarkan pencerahan kepada yang masih keliru dan musykil.

Bukankah setiap satu undi itu penting dan tidak boleh dibazirkan sama sekali? Sudahlah kita berdepan dengan seribu satu kemungkinan penipuan elit penguasa, kita juga kini dicabar dengan jumlah undi pembangkang yang tidak kecil, yang mungkin tercicir!

Tiada ulasan: