"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi: Kami mungkin kurang ajar, tapi tak curi duit rakyat

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli membidas Datin Seri Rosmah Mansor yang baru-baru ini menyifatkan Nurul Izzah Anwar tidak menghormati orang tua.

katanya, walaupun ahli politik muda boleh menjadi kurang ajar seperti yang didakwanya, mereka tidak pernah mencuri wang rakyat.

"Kami (mungkin) kasar atau kurang ajar, tapi kami tak pernah curi duit rakyat.

"Orang yang curi duit rakyat sampai beratus juga untuk buat filem lucah di Hollywood bukan anak Ramli, tetapi anak Rosmah," dakwanya ketika berceramah di Bagan Datok malam tadi.

Beliau merujuk dakwaan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) yang mengatakan anak Rosmah, Riza Aziz dan syarikatnya Red Granite menerima wang yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB untuk mendanai penerbitan filem syarikat itu, termasuk "The Wolf of Wall Street", ekoran babak dan penggunaan bahasa yang tidak sesuai.

Bulan lalu, Red Granite mencapai penyelesaian dengan DOJ namun ia tidak termasuk pengakuan bersalah. Riza masih dikaitkan dengan beberapa aset yang ingin dirampas jabatan itu.

Pada 20 April lalu, Rosmah berkata beliau tersinggung dengan Nurul Izzah yang menurutnya tidak memanggil beliau dengan panggilan 'datin seri', aunty atau mak cik.

Nurul Izzah telah memohon maaf jika telah membuat Rosmah berkecil hati dengan perkara itu.

Dalam acara sama, Rosmah turut menyerang Rafizi yang menurutnya berbohong dalam isu cincin berlian yang dikaitkan dengan dirinya.

Rafizi yang juga penyandang Parlimen Pandan bagaimanapun mempersoalkan isteri Datuk Seri Najib Razak itu yang hanya menyentuh soal cincin itu walaupun turut dikaitkan dengan isu barang kemas lain.

Antaranya adalah dakwaan ahli perniagaan Deepak Jaikishan membayar RM13 juta untuk membeli 19 bentuk barang kemas kepadanya pada 2008 dan 2009.

Beliau juga mempersoalkan mengapa Rosmah masih membisu berhubung dakwaan berlian merah jambu yang disebut DOJ.

"Dia buat bising pasal satu cincin, tetapi tak jawab tentang berlian warna merah jambu," katanya.

DOJ mendakwa berlian bernilai AS$27.3 juta itu dibeli menggunakan dana yang diselewengkan daripada 1MDB, sebagai hadiah kepada isteri individu yang hanya dinamakan sebagai 'Malaysian Official 1' dalam saman sivilnya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri sementara Datuk Abdul Rahman Dahlan mengakui bahawa MO1 adalah Datuk Seri Najib Razak.
-malaysiakini

Tiada ulasan: